BEKAS bintang Arsenal, Robin van Persie percaya pasukan London itu memiliki kemampuan untuk menamatkan penantian 19 tahun untuk menjulang trofi Liga Perdana Inggeris (EPL).
Skuad The Gunners ketika ini berada di puncak liga selepas 28 perlawanan dengan lima mata dibezakan berbanding pencabar terdekat, Manchester City.
Namun, bagi bekas pemain antarabangsa Belanda itu, kebolehan Arsenal untuk mengutip tiga mata penuh daripada aksi getir membuktikan bahawa mereka sudah bersedia.
"Jika kita lihat kepada saat ini, setiap mata bernilai dan mereka sudah menempuhi perlawanan sukar, tetapi boleh membawa pulang tiga mata penuh.
"Ia membuktikan bahawa mereka mempunyai ciri-ciri sebagai sebuah pasukan yang berpotensi untuk menjadi juara dan ia sudah dibuktikan," katanya.
Van Persie pernah dilantik sebagai kapten skuad The Gunners. — Agensi
Selain menggalas tanggungjawab sebagai penyerang utama pasukan, pemain itu turut menggalas tanggungjawab sebagai kapten kelab untuk beberapa musim.
Namun, selepas gagal muncul sebagai juara bersama Arsenal, van Persie akhirnya memilih untuk menyertai seteru utama kelab, Manchester United pada 2012 selepas hampir lapan tahun di Utara London.
Ketika bersama skuad The Red Devils, impiannya untuk menjuarai trofi EPL akhirnya tercapai di samping dia juga pernah diberi kepercayaan pihak kejurulatihan untuk tampil sebagai kapten pasukan.
Meskipun tidak pernah menjuarai takhta EPL bersama pasukan itu, pemain berusia 39 tahun berkenaan masih percaya dengan pendekatan diambil pengurus pasukan, Mikel Arteta.
"Menjelang pengakhiran sesebuah musim adalah satu tempoh yang amat sukar, tapi saya dapat berasakan bahawa mereka akan menempuhinya dengan cukup baik," katanya.
Arsenal selepas ini bakal berdepan Leeds United pada Sabtu sementara Manchester City akan menerima kunjungan Liverpool pada tarikh sama. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram