Selepas lalui fasa buruk di Old Trafford, Ronaldo akui jadi insan lebih baik


  • Podium
  • Khamis, 23 Mac 2023

Ronaldo kini akan menumpukan perhatian kepada tugasan negaranya iaitu pusingan kelayakan Euro 2024.

KETUA Pasukan Portugal, Cristiano Ronaldo, menegaskan dia kini menjadi manusia lebih baik selepas melalui fasa buruk dalam kariernya semasa tempoh kedua di Manchester United.

Kehadiran pengurus baharu, Erik ten Hag di Old Trafford pada musim panas menyaksikan pemain berpengalaman itu makin kurang mendapat minit permainan sehingga menimbulkan perasan tidak puas hati dalam diri pemain bertaraf bintang dunia itu.

Kekecewaannya semakin bertambah terhadap pasukan tersebut membawa kepada wawancara televisyen kontroversi bersama Piers Morgan.

Susulan kritikannya ketika wawancara itu, United bertindak untuk menamatkan kontraknya dengan persetujuan bersama dan dia akhirnya menyertai pasukan Arab Saudi, Al Nassr.

“Saya tiada masalah mengatakan saya mengalami fasa buruk dalam karier, tetapi tiada masa untuk menyesal.

"Hidup mesti diteruskan dan baik atau tidak, ia adalah sebahagian daripada perkembangan kerjaya saya. Apabila kita berada di puncak, kita sering tidak dapat melihat apa yang ada di bawah.

"Sekarang, saya lebih bersedia dan belajar daripadanya kerana saya tidak pernah melalui perkara itu. Sekarang saya seorang lelaki yang lebih baik," katanya pada sidang media menjelang perlawanan kelayakan Euro 2024 Portugal menentang Liechtenstein.

Terdapat spekulasi pemain berusia 38 tahun itu akan menamatkan karier antarabangsanya selepas Piala Dunia di Qatar tetapi ketibaan Roberto Martinez sebagai ketua jurulatih telah memberinya sinar baharu.

"Ia adalah episod berbeza untuk kita semua. Tenaganya bagus, positif, itu yang paling penting. Ada udara segar sekarang, idea dan mentaliti yang berbeza," kongsinya. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram