Sabah mungkin tempang tanpa 2 tonggak berdepan JDT


  • Podium
  • Khamis, 23 Mac 2023

Sabah FC merupakan satu-satunya pasukan dilihat konsisten dalam memberikan saingan kepada JDT. — Facebook/JohorSouthernTigers

PERTEMBUNGAN Johor Darul Takzim (JDT) dan Sabah FC dalam aksi Liga Super pada 31 Mac di Stadium Sultan Ismail, Iskandar Puteri, Johor sememangnya ditunggu-tunggu oleh penyokong fanatik bola sepak tanah air.

Ini kerana skuad Sang Badak adalah di antara kelab yang dianggap berkebolehan menumpulkan taring skuad Harimau Selatan itu.

Malah sudah kedengaran dalam kalangan penyokong bola sepak tanah air yang mengharapkan agar ada di antara pemain Negeri Di Bawah Bayu dapat memecahkan benteng pertahanan skuad di bawah kendalian Ketua Jurulatih, Estaban Solari itu.

Hal ini kerana, jika melihat kepada statistik Liga Super 2023, Sabah FC merupakan satu-satunya pasukan dilihat konsisten dalam memberikan saingan kepada JDT.

Selain itu, anak-anak buah Datuk Ong Kim Swee (DOKS) berada di kedudukan kedua dengan mengutip 13 mata, hanya dua mata dipisahkan di belakang pendahulu liga iaitu skuad Harimau Selatan.

Sekiranya pasukan Negeri Di Bawah Bayu itu berjaya menewaskan JDT, ia pastinya membolehkan Sabah FC kembali menjadi pendahulu selepas kedudukan tersebut diambil alih oleh JDT seawal minggu ketiga liga.

WhatsApp Image 2023-03-23 at 15.40.16

Daniel Ting (kiri) dan Saddil Ramdan berkemungkinan tidak akan berada dalam kesebelasan utama dalam aksi menentang JDT pada 31 Mac ini. — Facebook/SabahFC

Namun begitu, Sabah mungkin kehilangan dua tonggak utamanya iaitu Daniel Ting dan Saddil Ramdani pada aksi tersebut.

Seorang penyokong, Christ Evans berpendapat, berikutan ketiadaan kedua-dua pemain itu, DOKS mungkin terpaksa merombak kesebelasan utama yang baru bagi saingan berdepan JDT.

"Ada kemungkinan besar Sabah FC tidak dapat menurunkan kesebelasan utama ketika berdepan dengan JDT.

"Ini sedikit sebanyak boleh merencatkan perancangan pasukan terutama dari aspek keserasian yang sudah dibentuk dalam lima perlawanan.

"Sabah menghantar kontinjen kedua terbesar ke kem pasukan kebangsaan selepas JDT dengan lima pemain. Perlawanan antarabangsa yang terakhir adalah pada 28 Mac 2023 manakala perlawanan menentang JDT adalah pada 31 Mac 2023," tulisnya.

334156667_880672559897299_776922531279820827_n

Datuk Ong Kim Swee mungkin terpaksa merombak kesebelasan utama yang baru bagi saingan berdepan JDT. —Facebook/SabahFC

Menurutnya lagi ketiadaan Saddil yang dipanggil menyertai skuad Garuda Indonesia turut merencatkan aksi perlawanan tersebut.

"Saddil menyertai skuad kebangsaan Indonesia pada perlawanan antarabangsa terakhir mereka juga pada 28 Mac 2023," katanya.

Sementara itu, Daniel Ting yang merupakan pemain pinjaman JDT besar kemungkinan tidak boleh diturunkan menentang majikannya berdasarkan parent club rule.

Tambahnya, semua pemain yang mewakili pasukan kebangsaan masing-masing termasuk Saddil dan Daniel Ting mungkin agak keletihan untuk terus bermain pada aksi Liga Super.

"Lebih-lebih lagi mereka ini tidak terlibat dalam latihan taktikal pasukan.

"Ini sedikit sebanyak boleh merencatkan perancangan pasukan terutama dari aspek keserasian yang sudah dibentuk dalam lima perlawanan," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram