MENJADI salah seorang pemain Kedah Darul Aman FC (KDA FC) yang dipanggil untuk beraksi bersama skuad kebangsaan pada musim ini sudah tentu memberikan tanggungjawab besar buat pemain muda, Fayadh Zulkifli.
Apatah lagi, ini merupakan penampilan pertama anak jati Kedah itu untuk beraksi bersama skuad Harimau Malaya.
Manakan tidak, skuad yang berada di bawah kendalian ketua jurulatih, Kim Pan-gon itu mempunyai pilihan barisan pemain yang sudah mempunyai pengalaman bermain di peringkat antarabangsa.
Dengan 26 pemain lama dan baharu dipanggil menyertai kem latihan, Fayadh pasti perlu berusaha dengan lebih keras untuk bersaing dengan dengan beberapa pemain sayap, terutamanya Faisal Halim dan Arif Aiman Hanapi.
Pemain sayap skuad Sang kenari Fayadh Zulkifli. — Instagram/Fayadh
Sehubungan itu, seorang pemerhati sukan tanah air, Don K-Rul IZham berasakan panggilan untuk menyertai skuad Harimau Malaya itu merupakan peluang keemasan untuk pemain tersebut.
Menurutnya, graduan akademi KDA FC sedang bergelut untuk mendapatkan tempat dalam skuad kebangsaan, lebih-lebih lagi dengan lambakan pemain berkualiti ketika ini.
"Kita tak nafikan, perkembangan pemain lokal Kedah diperingkat Liga masih kurang memberangsangkan berbanding pemain lokal kelab-kelab lain seperti Johor Darul Takzim (JDT), Selangor FC atau Sabah FC,"
"Fayadh mengisi posisi yang ditinggalkan Safawi Rasid. Mungkin ini peluang dan percubaan oleh Kim Pan-Gon untuk menilai Fayadh," katanya.
Sehubungan itu, sekiranya Fayadh mendapat tempat dalam slot kesebelasan utama dalam skuad Harimau Malaya nanti, ia pasti memberi ruang kepada pemain tersebut untuk mendapatkan rentak permainan yang berbeza.
Berikut adalah tiga sebab kenapa Fayadh sesuai menggantikan posisi yang dahulunya menempatkan salah seorang kapten dan tonggak utama pasukan, Safawi Rasid.
1. Statistik baik musim 2022
Fayadh menyumbangkan 11 gol serta empat bantuan gol dalam kesemua kejohanan disertai sepanjang musim lalu.— Facebook/KDAFC
Fayadh memulakan aksi musim lalu dengan baik kerana berdasarkan statistik pada musim lalu, Fayadh berada di kedudukan ketiga di belakang Arif Aiman dan Faisal Halim dari aspek sumbangannya dalam pasukan.
Selain itu, pemain itu juga turut menyumbangkan 11 gol serta empat bantuan gol dalam kesemua kejohanan disertai sepanjang musim lalu.
Tambahan pula, kemampuannya juga terserlah apabila dia merupakan antara watak penting ketika aksi Piala AFC dengan pasukan itu mara ke peringkat separuh akhir ASEAN menerusi empat gol yang dijaringkannya sepanjang kejohanan itu.
Sumbangan itu menyaksikannya Fayadh dipilih sebagai pemain terbaik kelab pada musim 2022 yang dibanjiri pemain bintang, seperti Ronald Ngah Wanja dan Mahmoud Al-Mardi.
2. Fleksibel dalam posisi tersendiri
Fayadh mampu memberi sokongan untuk dua posisi berbeza sesuai dengan pendekatan Pan-gon. — Facebook/FAM
Kelebihan beraksi di pelbagai posisi pasti menjadi antara faktor Fayadh dipilih menyertai kem latihan skuad kebangsaan yang diadakan di Padang Seri Gelam, Johor.
Ini adalah kerana pemain muda itu mampu memberi sokongan untuk dua posisi berbeza sesuai dengan pendekatan Pan-gon.
Bersama skuad Sang Kenari, Fayadh boleh bermain di posisi sayap kanan sebelum ketua jurulatih Sang Kenari, Nafuzi Zain meletakkan dia di posisi sayap kiri.
Pada masa sama, kelincahannya di atas padang juga patut dipuji dengan dia dilihat cukup mudah melakukan gelecekan untuk mengatasi pihak lawan.
3. Umur masih muda
Fayadh baru sahaja berumur 24 tahun. — facebook/FA_Kedah
Jika melihat kepada usianya yang baru sahaja berumur 24 tahun, adalah wajar buat Pan-gon untuk memberikannya penampilan pertama dengan pasukan kebangsaan.
Pemain tersebut juga menunjukkan peningkatan dalam prestasinya kebelakangan ini dan sering berada dalam kesebelasan utama skuad Sang Kenari.
Tambahan pula, usianya itu dilihat sebagai satu suntikan tambahan apabila dia kerap melakukan tekanan kepada benteng pertahanan lawan.
Jadi, dengan Pan-gon juga terkenal sebagai seorang jurulatih yang menerapkan intensiti tinggi, tidak hairanlah apabila Fayadh diberi peluang bersama Harimau Malaya.
Untuk rekod, skuad kendalian Kim Pan Gon itu dalam persiapan bagi menghadapi dua Perlawanan Antarabangsa Tier 1 di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri iaitu menentang Turkmenistan pada Khamis, 23 Mac 2023 dan Hong Kong pada Selasa, 28 Mac 2023. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram