KETIKA ini, Kelantan FC sedang dalam prestasi terumbang-ambing selepas hanya mengumpul empat daripada lima perlawanan Liga Super.
Prestasi kurang konsisten itu menyaksikan mereka menduduki tangga ke-10 di samping memegang rekod sebagai antara pasukan dengan rekod pertahanan terburuk selepas dibolosi sebanyak 13 kali.
Namun, bagi penyokong setia pasukan Pantai Timur itu, mereka tidaklah terlalu mudah menunding jari ke arah pihak pengurusan ke atas kedudukan mereka ketika ini.
Ia adalah kerana mereka sudah mencatatkan satu kemenangan ketika berdepan Penang FC, yang mana satu pencapaian lebih baik berbanding seteru terdekat, Kelantan United FC.
Tambahan pula, pemilik pasukan, Norizam Tukiman juga sudah menegaskan bahawa kedudukan 10 teratas sudah cukup baik bagi kelab yang sudah bertahun-tahun berada dalam kancah Liga Perdana.
Pendirian itu sepertinya diterima baik penyokong The Red Warriors (TRW) apabila sorakan daripada penyokong tidak pernah mengecewakan setiap kali beraksi di laman sendiri.
Tetapi, apa yang lebih menarik perhatian pengikut setia kelab adalah mengenai kehadiran import kelahiran Sepanyol, Miguel Cifuentes.
Pemain yang lebih dikenali sebagai Cifu itu dikatakan beraksi dengan cukup cemerlang, baik dari segi pertahanan mahupun serangan.
Ia dapat dibuktikan menerusi dua jaringan yang dikumpul setakat ini meskipun ketua jurulatih, Choi Moon-sik lebih gemar menurunkannya sebagai bek kanan.
Cifu pernah beraksi bersama pasukan Sepanyol, Malaga FC untuk beberapa musim. — Agensi
Lebih menarik lagi, bekas pemain Malaga FC itu juga dilihat cukup lantang setiap kali beraksi, sekali gus meletakkan namanya sebagai salah seorang tonggak pasukan.
Bagaimanapun, apa yang sedikit meruntunkan hati penyokong adalah berikutan khabar angin yang kuat mengatakan bahawa Cifu akan memilih untuk berhijrah ke Johor Darul Takzim (JDT).
Ura-ura itu bertebaran berikutan lima hantaran di laman Instagram peribadinya yang memaparkan Stadium Sultan Ibrahim, Johor sebagai latar belakang.
Namun, dengan dia masih tidak mengeluarkan sebarang kenyataan, ia dilihat tidak lebih daripada satu gosip perpindahan yang cukup normal dalam dunia bola sepak.
Tetapi, jika dia memilih untuk menyertai skuad Harimau Selatan, terdapat beberapa perkara yang perlu dipertimbangkan sebelum mengambil keputusan berkenaan.
Melihat kepada situasi dia ketika ini, terdapat dua pro dan kontra yang jelas untuk dinilai dari segi Cifuentes jika perpindahan itu dimeterai.
Pro
1. Peluang beraksi di pentas Asia
Selain bermain dengan cukup baik di peringkat domestik, kemampuan sebenar JDT juga boleh disaksikan ketika mereka bersaing dalam Liga Juara-juara AFC (ACL).
Musim lepas, pasukan Selatan tanah air itu mencipta sejarah tersendiri apabila layak ke peringkat 16 pasukan terbaik selepas muncul sebagai juara kumpulan.
Ia dilihat sebagai satu tarikan buat mana-mana pemain yang mahu membuktikan kemampuan tersendiri di mata dunia selain mengumpul pengalaman lebih tinggi.
Cifu juga pastinya tidak mahu ketinggalan, lebih-lebih lagi musim ini merupakan pengalaman pertamanya beraksi di Asia selepas bertahun-tahun mengerah keringat di tanah kelahiran sendiri.
Pentas ACL sudah cukup sinonim dengan skuad Harimau Selatan. — Facebook/JOHOR Southern Tigers
Jadi, sekiranya pemain berkenaan berhasrat untuk meraih suasana itu, JDT merupakan destinasi terbaik memandangkan mereka masih berpeluang menjuarai Liga Super musim ini.
Bagi Kelantan FC pula, masalah kewangan yang berlaku pada 2018 menjatuhkan standard pasukan meskipun mereka sebelum ini sudah kerap layak ke pentas Asia.
Tambahan pula, dengan prestasi kurang meyakinkan ketika ini, Cifu pastinya perlu menunggu sekurang-kurangnya lima tahun sebelum mampu merasai pengalaman itu.
2. Tambah koleksi kejuaraan
Selepas hampir 15 tahun terlibat dalam dunia bola sepak, Cifu masih terpaksa menunggu untuk menjulang trofi peribadi pertamanya.
Kemarau itu pastinya cukup menggusarkan dirinya, lebih-lebih lagi dengan tahun-tahunnya bermain secara profesional sudah tidak panjang.
Jika dia memilih untuk kekal setia bersama skuad TRW, terdapat kemungkinan bahawa dia akan menamatkan karier tanpa mengumpul sebarang kejohanan.
Namun, sekiranya dia memilih untuk berhijrah ke JDT, ia pastinya tidak menjadi satu masalah memandangkan penguasaan kelab itu dalam arena bola sepak tempatan.
Empat kejohanan domestik pada 2022 cukup bersejarah buat JDT. — Facebook/JOHOR Southern Tigers
Sejak penjenamaan semula pada 2013, mereka akan sekurang-kurangnya menamatkan musim dengan satu trofi dalam tangan yang mana merupakan pencapaian cukup membanggakan.
Musim lepas pula, JDT juga melakar sejarah tersendiri dengan menjulang empat trofi semusim, sekali gus menjadi pasukan Liga Malaysia pertama melakukannya.
Oleh itu, sekiranya Cifu benar-benar berhasrat untuk mengumpul satu medal, Harimau Selatan dilihat sebagai pilihan terbaik buatnya.
Kontra
1. Komitmen jangka masa panjang
Lambakan pemain bintang merupakan salah satu pendekatan yang diterapkan JDT dengan pemilik kelab, Tunku Mahkota Johor (TMJ) Tunku Ismail Sultan Ibrahim kerap melakukan pelaburan.
Ia sedikit sebanyak menyebabkan beberapa pemain memilih untuk tidak kekal untuk satu tempoh yang panjang, lebih-lebih lagi sekiranya tidak dapat menyesuaikan diri dengan segera.
Jadi, sekiranya Cifu memilih untuk berkelana ketika jendela perpindahan akan datang, dia terpaksa menyedari akan situasi berkenaan.
Walaupun ia dilihat bukanlah satu situasi yang cukup merisaukan, masalah akan timbul sekiranya Cifu mahu mendapatkan pasukan lain selepas khidmatnya tidak lagi diperlukan.
Usianya yang sudah mencecah 32 tahun pasti akan menyukarkan tempatnya bersama pasukan, baik dalam skuad utama mahupun pasukan simpanan.
De Paula berdepan satu tempoh yang tidak menentu bersama skuad Harimau Selatan. — Facebook/JOHOR Southern Tigers
Situasi itu pernah terjadi beberapa kali sebelum ini dengan penyerang naturalisasi negara, Guilherme de Paula berdepan nasib terbabit.
Dia yang menyertai JDT ketika masih memiliki bisa di hadapan pintu gol lawan bergelut untuk mendapatkan prestasi terbaik apabila sukar mencari destinasi baharunya.
Namun, sekiranya Cifu terbuka untuk mengalami perkara itu, adalah tidak salah untuknya melakukan penghijrahan itu pada tempoh akan datang.
2. Kehilangan tempat dalam kesebelasan utama
Meskipun baru sahaja hadir pada jendela perpindahan lalu, Cifu tidak perlu menunggu lama untuk beraksi dengan cukup baik selepas diberi kepercayaan pihak kejurulatihan.
Dalam lima perlawanan Liga Super setakat ini, pemain berketinggian 1.74m itu hanya sekali tidak turun dalam kesebelasan utama iaitu ketika berdepan Sri Pahang FC.
Jadi, ia pastinya membuktikan bahawa Cifu boleh dianggap sebagai tonggak pasukan dengan penyokong Kelantan FC amat mengharapkan sumbangannya.
Tetapi, sekiranya dia terbuka untuk berhijrah ke Selatan tanah air, terdapat kemungkinan besar dia tidak akan lagi dapat menikmati kelebihan itu.
Corbin perlu lebih berpuas hati dengan tempatnya di bangku simpanan musim ini. — Facebook/JOHOR Southern Tigers
Sebagai contoh, pertahanan senior JDT, Corbin Ong juga berdepan nasib itu selepas kelab itu mendapatkan khidmat seorang lagi pemain Sepanyol, Juan Muniz.
Ia sekali gus menunjukkan bahawa Cifu perlu menyedari perkara berkenaan yang pastinya akan membuka matanya sebelum membuat keputusan.
Namun, dengan dia sudah semakin menghampiri penghujung karier, terdapat kemungkinan bahawa dia akan mengambil risiko itu demi mendapatkan pengalaman berbeza dalam dunia bola sepak. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram