Baru masuk 3 game, namun sudah dilabel bintang import terbaik TRW atas 4 faktor utama


  • Podium
  • Selasa, 07 Mac 2023

Mampukah skuad TRW menggunakan khidmat Cifuentes hingga akhir musim 2023? — Facebook/TRW Kelantan FC

SELEPAS tewas di tangan Sri Pahang FC 1-4 Khamis minggu lalu, ia tidak mematahkan semangat skuad Kelantan FC untuk kembali bangkit dalam aksi Liga Super pada Ahad.

The Red Warriors (TRW) berjaya membolosi gawang skuad Penang FC dengan gol kemenangan 2-0.

Rata-rata penyokong Kelantan FC memuji ketangkasan pemain import yang berasal dari Sepanyol, Miguel Cifuentes dalam menunjukkan aksi persembahan yang cemerlang.

Cifu juga mempunyai pengalaman dalam liga Sepanyol dengan menyertai beberapa pasukan besar di La Liga seperti Malaga FC dan Girona FC.

cifuentes

Cifu memberikan aksi persembahan yang terbaik untuk skuad TRW.

Berikut merupakan empat sebab anak kelahiran Sepanyol itu dilabel sebagai pemain terbaik TRW musim 2023 oleh penyokong.

1. Rajin

Penyokong TRW mengatakan pemain pertahanan itu sentiasa rajin mengejar bola dan kekal berstamina ketika bermain dalam setiap perlawanan yang diturunkannya.

"Dia ini import Kelantan paling rajin, kalau tidak jaga, lepas ke lain musim depan dengan nombor 17 Kelantan (Fazrul Amir Zaman), saya tidak kenal sebab penyokong Pahang FC," kata Faiq Mohamed.

Musim ini, Cifu diturunkan sebanyak tiga kali dalam tiga perlawanan dan dia diletakkan dalam kesebelasan utama dalam kesemua aksi tersebut.

2. Tajam di hadapan pintu gol

Walaupun jaringan Cifu masih tidak membantu Kelantan FC untuk mencatatkan kemenangan, sumbangan tersebut cukup besar kerana ia akan memberi kelebihan sepanjang musim.

"Dia saja nampak rajin semacam, lincah lari sana sini kejar bola... dua perlawanan dua gol walaupun payah untuk dia skor akibat daripada kurang komunikasi dari pasukan," kata Karim Al-Maliki.

Setakat ini, Cifu diletakkan dalam kalangan antara penjaring terbanyak liga, sekali gus membuktikan bahawa dia memiliki kemampuan untuk menjadi ancaman di hadapan pintu gol lawan.

Tambahan pula, sumbangannya itu pasti akan mengurangkan beban yang ditanggung dua penyerang import, Nuha Marong dan Ismahel Akinade yang masih mencari rentak dalam saingan domestik setakat ini.

3. Bersemangat

Walaupun hanya beberapa minit diturunkan dalam perlawanan, dia tetap mengerahkan rakan sepasukan untuk terus bermain dengan cemerlang sebelum dikeluarkan.

"Kalau macam Cifu import pasti Kelantan boleh jadi pencabar Liga Super sangat rajin dengan kekuatan semangat," kata Nordin Din.

Ketika diturunkan, pemain berusia 32 tahun itu dilihat tidak henti-henti memberi arahan kepada rakan sepasukan, lebih-lebih lagi semasa kemenangan ke atas Penang FC.

Jadi, dengan kemampuan serta semangat berkobar-kobar yang dimilikinya, tidak hairanlah apabila penyokong TRW mula memilihnya sebagai antara import terbaik Liga Super musim ini.

4. Fleksibel

Walaupun bermain sebagai pemain pertahanan pasukan pantai timur, namun dia menunjukkan kelebihan yang mana mampu membantu meraih tiga mata.

"Inilah dia pemain yang ada dua jantung, tidak pernah letih belari," kata Sero Aqil.

Cifu juga dikatakan fleksibel dan mampu mengawal bola dengan baik dan dari pemain pertahanan boleh menembusi benteng skuad Penang FC.

Selain itu, dia juga dianggap sebagai watak utama kebangkitan The Red Warriors dan pemain paling rajin di dalam padang sehingga tamat perlawanan pada Ahad malam. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram