Bukan setakat Farizal, ini 3 lagi kapten digugurkan untuk musim 2023


  • Podium
  • Selasa, 21 Mac 2023

Farizal sudah kehilangan tempatnya bersama pasukan selepas kehadiran Syihan Hazmi. — Facebook/JOHOR Southern Tigers

ROMBAKAN yang dilakukan Johor Darul Takzim (JDT) ketika jendela perpindahan lalu menyaksikan beberapa wajah baharu dibawa masuk.

Antara nama besar yang direkrut pihak pengurusan Harimau Selatan ialah penjaga gawang skuad kebangsaan, Syihan Hazmi selepas dia bersinar bersama Negeri Sembilan FC.

Ketangkasannya bersama skuad Jang musim lepas membolehkannya menerima anugerah penjaga gol terbaik ketika Anugerah Bola Sepak Kebangsaan 2022 (ABK2022).

Lebih membanggakan lagi, pemain kelahiran Kelantan itu juga tidak menunggu lama untuk mempamerkan aksi terbaik apabila dia hanya dibolosi sebanyak sekali dalam lima penampilan Liga Super.

Bagaimanapun, kecemerlangan yang dipamerkan Syihan menyaksikan bekas penjaga gol utama JDT, Farizal Marlias lebih kerap diletakkan di bangku simpanan.

Meskipun mengumpul jumlah perlawanan terbanyak tanpa dibolosi musim lalu, usianya yang sudah mencecah 36 tahun menjadi antara sebab dia digugurkan daripada kesebelasan utama.

Selain itu, perkara berkenaan juga menyaksikan Farizal tidak lagi bergelar kapten utama pasukan dengan tanggungjawab berkenaan digalas pertahanan kental, Jordi Amat musim ini.

Tetapi, bekas tonggak skuad kebangsaan berkenaan juga pastinya tidak terlalu terkesan dengan perkara itu apabila ada beberapa pemain lain yang juga berdepan nasib sama.

Berikut merupakan empat pemain, termasuk Farizal yang terpaksa akur dengan keputusan pihak kejurulatihan untuk meletakkan mereka di bangku simpanan.

1. Muslim Ahmad (Sri Pahang)

Bekas tonggak pertahanan skuad Tok Gajah, Muslim Ahmad kurang diberikan penampilan musim ini selepas kehadiran import kental dari Australia, Michael Glassock.

Muslim sebelum ini kerap dikritik penyokong Sri Pahang yang melabel pemain itu sebagai punca gawang pasukan terlalu mudah ditembusi pihak lawan.

Ia dapat diperhatikan apabila dia dikatakan terlalu mudah melakukan kesilapan sehingga menyebabkan peminat setia pasukan mendesak pihak pengurusan menggugurkannya daripada kesebelasan utama.

1683761

Muslim (kanan) pernah menggalas tanggungjawab besar bersama Sri Pahang. Facebook/Sri Pahang FC

Kini, harapan itu seakan-akan didengari apabila Muslim masih menunggu penampilan pertamanya bersama skuad Tok Gajah yang sedang perlahan-lahan merencanakan kebangkitan.

Pengendali Sri Pahang, Fandi Ahmad sepertinya lebih berminat untuk menggunakan khidmat pemain pinjaman dari JDT, Fadhli Shas yang hadir ketika jendela perpindahan lalu.

Tambahan pula, peranan kapten turut diberikan kepada Fadhli dengan tanggungjawab itu digalas Muslim berdasarkan pengalaman yang dimilikinya setakat ini.

Bagaimanapun, dengan Sri Pahang pastinya berharap untuk merangkul sekurang-kurangnya satu kejohanan musim ini, bekas pertahanan Kelantan FA itu semestinya akan diberi peluang dalam pasukan.

2. Farizal Marlias (JDT)

Seperti dibincangkan di atas, Farizal merupakan salah seorang kapten pasukan yang khidmatnya tidak lagi diperlukan untuk musim 2023.

Selepas hampir 10 tahun berbakti bersama skuad Harimau Selatan, dia kini dikatakan lebih sesuai untuk menjadi ikon dan model buat pemain lebih muda.

Namun, bagi sesetengah pengikut setia pasukan, tindakan itu adalah tepat apabila Farizal juga kerap melakukan kesilapan sepanjang beraksi bersama JDT.

Tambahan pula, dengan lambakan pemain berpengalaman dalam pasukan, ketua jurulatih, Esteban Solari akhirnya memilih untuk melantik Amat sebagai kapten dalam lima aksi Liga Super.

1706801

Adakah khidmat Farizal masih diperlukan bersama skuad Harimau Selatan? Facebook/JOHOR Southern Tigers

Persoalannya, dengan kehadiran Haziq Nadzli sebagai seorang lagi penjaga gol berpotensi, adakah khidmat Farizal akan terus diperlukan musim ini?

Berdasarkan pemerhatian awal, kebolehannya untuk mengemudi benteng pertahanan merupakan antara aset utama dengan pemain kelahiran Jengka, Pahang itu dikatakan cukup lantang.

Oleh itu, Farizal pastinya tidak perlu terlalu risau dengan pandangan pihak kejurulatihan terhadapnya, lebih-lebih lagi dengan musim yang masih panjang.

3. Baddrol Bakhtiar (Sabah FC)

Kredibiliti dan sikap kepimpinan jeneral tengah, Baddrol Bakhtiar tidak perlu diperkenalkan lagi apabila dia sudah diberikan kepercayaan untuk memakai lilitan kapten ketika bersama Kedah Darul Aman (KDA) FC.

Tanggungjawab itu masih lagi diteruskan apabila dia menyertai Sabah FC pada 2022 dengan ketua jurulatih, Datuk Ong Kim Swee sudah cukup mengenali personalitinya.

Bagaimanapun, faktor usia dan perubahan taktikal skuad Sang Badak musim ini menyaksikan Baddrol masih kempunan untuk aksi dalam kesebelasan utama.

1788782

Kredibiliti Baddrol menyaksikannya dipilih sebagai kapten skuad Sang Badak. Facebook/Sabah FC

Di samping itu, kebangkitan seorang lagi pemain tengah, Park Tae-su menyaksikan peranan kapten tidak lagi digalas Baddrol dalam beberapa perlawanan setakat ini.

Setakat ini, pemain kelahiran Sungai Petani, Kedah itu hanya dimasukkan dari bangku simpanan sebanyak tiga kali, yang mana menyaksikannya mengumpul 32 minit permainan.

Tetapi, dengan pasukan Borneo itu berjaya layak ke pentas Asia musim ini, khidmatnya pasti akan terus ditagih pihak kejurulatihan yang sudah tentu berhasrat untuk menamatkan kemarau kejuaraan.

Bagaimanapun, dengan kehadiran beberapa import baharu, terdapat sedikit kesangsian mengenai nasib Baddrol bersama Sabah FC mengenai peluangnya di atas padang.

4. Yusri Yuhasmadi (Kelantan FC)

Ketika ini, Kelantan FC masih bergelut untuk mendapatkan rentak apabila hanya mengumpul empat mata daripada lima aksi Liga Super.

Prestasi terumbang-ambing itu menyaksikan mereka menduduki tangga ke-10 Liga Super di samping mencatatkan satu rekod pertahanan terburuk dengan 13 gol sudah dilepaskan.

Bagi sesetengah penyokong The Red Warriors (TRW), masalah itu boleh diperbaiki sekiranya ketua jurulatih, Choi Moon-sik menurunkan bekas kapten pasukan, Yusri Yuhasmadi dengan lebih kerap.

Selain dikatakan kental melakukan asakan, pemain berusia 24 tahun itu juga sepertinya memiliki sikap kepimpinan yang cemerlang seperti mana dapat disaksikan musim lalu.

1873168

Yusri bergelut untuk mendapatkan tempat bersama Kelantan FC musim ini. Facebook/TRW Kelantan FC

Kini, peranan kapten digalas pertahanan kebangsaan Filipina, Carli de Murga atau seorang lagi pemain import, Miguel Cifuentes.

Selepas lima aksi Liga Super, Yusri hanya diturunkan sebanyak dua kali dalam kesebelasan utama dengan salah satunya menyaksikan dia dikeluarkan seawal minit ke-35.

Persoalannya, mampukah kehadiran pertahanan itu ke dalam pasukan mengubah nasib skuad TRW apabila mereka dilihat masih goyah baik dari segi pertahanan mahupun serangan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram