Mungkin ada yang terlupa 4 sumbangan TMJ demi ngauman Harimau Malaya


  • Podium
  • Jumaat, 24 Mac 2023

TMJ merupakan individu yang banyak menyumbang kepada peningkatan skaud kebangsaan.

SKUAD Harimau Malaya kini semakin meraih perhatian selepas berjaya mempamerkan peningkatan dari segi gaya permainan dan prestasi memberangsangkan sejak kebelakangan ini.

Malaysia yang ketika ini berada di kedudukan ranking ke 142 dunia, berjaya mengumpul mata ranking sebanyak 1074.02 susulan kemenangan demi kemenangan yang dicapai sejak di bawah kendalian jurulatih Kim Pan-gon.

Ditambah pula dengan kejayaan skuad negara melangkah ke Piala Asia selepas menundukkan Bangladesh 4-1 dalam aksi terakhir kelayakan Kumpulan E tahun lalu, ia membuktikan betapa pasukan Malaysia semakin digeruni di peringat Asia.

Di sebalik kejayaan yang dikecapi itu, masyarakat Malaysia perlu berterima kasih dan menghargai jasa seorang individu yang boleh dianggap wira dalam arena bola sepak negara.

HAKA

Skuad Harimau Malaya semakin menunjukkan peningkatan dalam kedudukan ranking dunia. — FAM

Tunku Mahkota Johor (TMJ) Tunku Ismail Sultan Ibrahim merupakan watak penting dalam pembikinan pasukan Harimau Malaya susulan sumbangan dan visi besar yang diterapkan dalam pembangunan bola sepak negara mula melihatkan hasilnya.

Mungkin ada yang tahu dan ada juga yang terlepas pandang akan bantuan dihulurkan TMJ sebelum ini. Berdasarkan laporan media tempatan, berikut merupakan empat sumbangan pemilik pasukan Johor Darul Takzim (JDT) dalam arena sukan kebangsaan.

1. Tajaan RM1.4 juta tanaman rumput jenis Zeon Zoysia

TMJ menaja kos penanaman rumput baharu di Stadium Nasional Bukit Jalil, sebagai hadiah kepada gelanggang keramat skuad Harimau Malaya.

Anggaran kos tajaan beliau dianggarkan antara RM1.2 juta hingga RM1.4 juta manakala kos penyelenggaraan pula kira-kira RM240,000 setahun.

Penggunaan rumput jenis Zeon Zoysia itu menggantikan rumput lembu atau jenis ‘Cowgrass’ yang dikatakan tidak sesuai lagi digunakan untuk bola sepak moden kerana lantunan bola di permukaan padang itu lebih kuat daripada kebiasaannya.

Stadium Nasional Bukit Jalil bakal menjadi antara empat buah stadium utama di Asia Tenggara yang menggunakan rumput jenis Zeon Zoysia selain Stadium Nasional Singapura, Stadium Utama Gelora Bung Karno serta Stadium JDT, Stadium Sultan Ibrahim.

2. Sumbangan bas rasmi Harimau Malaya

Malaysia yang dikendalikan oleh jurulatih kelahiran Portugal, Nelo Vingada pada 2017 dikatakan gagal menyerlah selain turut menyaksikan kemerosotan ranking negara apabila terjerumus ke tahap terburuk sejak 1993 dengan menghuni tangga ke-174 dunia.

Di sebalik prestasi buruk itu, TMJ tetap menghadiahkan sebuah bas kepada skuad kebangsaan bagi memenuhi kemudahan pasukan negara ketika menghadiri sesi latihan dan perlawanan dalam negara.

Meskipun kehilangan banyak mata dalam perlawanan persabatan antarabangsa, ia tidak mematahkan semangat Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mahupun TMJ yang terus memberikan sokongan terhadap pasukan negara.

3. Melangsaikan hutang FAM

Pernah dilantik sebagai Presiden FAM, TMJ telah membelanjakan wangnya sendiri sebanyak RM12 juta untuk menghapuskan hutang lapuk persatuan bola itu.

Walaupun selepas itu beliau membuat keputusan untuk meninggalkan FAM, namun segala sumbangannya ketika memegang kedudukan itu perlu dihargai terutamanya ketika menyelesaikan isu saman melibatkan MP Silva terhadap FAM sebanyak RM1.4 juta.

“Saya berbelanja RM12 juta iaitu duit saya sendiri pada tahun pertama di FAM di mana ketika itu FAM tiada duit dan dalam masa yang sama kes FAM dengan MP Silva, saya juga selesaikan satu kes di mana FAM akan disaman €1.4 juta (RM6.5 juta) dan akhirnya dapat dikurangkan kepada €300,000 (RM1.4 juta) di mana saya juga menggunakan duit saya sendiri dulu untuk selesaikan kerana FAM tiada bajet.

“Saya tinggalkan FAM dalam keadaan baik dan serahkan kepada (Datuk) Hamidin (Mohd Amin) sebelum saya mengambil alih MFL kerana itu adalah permintaan daripada semua pihak penaja dan rakan liga untuk melihat saya berada di situ di mana penaja lebih yakin,” katanya.

Dari segi struktur kejurulatihan pasukan kebangsaan, TMJ turut membawa masuk Peter De Roo sebagai pengarah teknikal bagi memperkuatkan skuad negara.

4. Hantar jurulatih ke Sepanyol

Bekas ketua jurulatih skuad Bawah 23 kebangsaan, Datuk Ong Kim Swee dan penolongnya, Brad Maloney sebelum ini pernah dihantar ke Sepanyol untuk menimba ilmu kejurulatihan bersama kelab Atletico Madrid dan juga pasukan kebangsaan Sepanyol selama sebulan.

Inisiatif tersebut merupakan hasil usaha TMJ sebagi perancangan beliau untuk meningkatkan lagi kualiti kejurulatihan negara.

Meletakkan kepercayaan terhadap kedua individu tersebut, ia sebagai langkah jangka masa panjang buat arena bola sepak tanah air dengan Kim Swee sememangnya antara jurulatih berpengalaman negara yang telah membawa banyak kejayaan kepada skuad kebangsaan.

Lihat saja bagaimana Kim Swee kini gah mengemudi Sabah FC yang menduduki tangga kedua Liga Super dan disebut-sebut mampu menjadi pencabar JDT.

Justeru, kejayaan pasukan negara ketika ini perlu dilihat secara keseluruhan dengan sumbangan yang dihulurkan TMJ antara yang paling banyak membantu kepada peningkatan mutu permainan Harimau Malaya.

Malaysia ketika ini sedang membuat persiapan sebelum bermulanya saingan Piala Asia dengan dua perlawanan persahabatan sedang dilalui skuad negara menentang pasukan Turkmenistan dan Hong Kong. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram