[VIDEO] Pengemis 'patah tengkuk' tak serik kena tangkap, kini 'pindah' di PJ


  • Tular
  • Khamis, 23 Mac 2023

Tangkap layar pengemis warga asing meminta sedekah di simpang lampu isyarat dekat Seksyen 13, Petaling Jaya, Selangor.

SINDIKET peminta sedekah warga asing kian meruncing dalam negara selepas beberapa lokasi pernah merekodkan kegiatan mereka sebelum ini.

Menggunakan modus operandi memakai pendakap leher untuk menagih simpati orang ramai, kegiatan mereka semakin berleluasa meskipun pernah ditahan pihak polis.

Sebelum ini, Majoriti melaporkan aksi dua orang pengemis dengan kegiatan serupa di Batu Tiga, Shah Alam, Selangor dan Cheng, Melaka pada tahun lalu.

Terbaharu, simpang lampu isyarat di Seksyen 13, Petaling Jaya, Selangor pula menjadi lokasi kegiatan tersebut selepas seorang lelaki berpakaian putih dilengkapi pendakap leher, giat menjalankan kutipan wang di lokasi berkenaan.

Kejadian itu dikongsikan di laman TikTok pada Rabu, dan dipercayai masih berterusan sehingga ke hari ini.

Menerusi video berdurasi 11 saat itu, individu dipercayai warga asing berkenaan bergerak ke setiap kereta sambil membuat isyarat mahu meminta sedekah.

Berbekalkan bungkusan tisu sebagai pertukaran wang, si perakam seolah-olah tertipu dengan taktik tersebut apabila pengemis terbabit terus beredar sebelum memberikan tisu kepadanya.

Tersentak dengan situasi itu, pemuda terbabit terus menyergah dan meminta bungkusan tisu yang sepatutnya diterima.

Ruangan komen dipenuhi dengan kecaman warganet berhubung isu tersebut.

"Geng patah tengkuk dah kembali, dari Melaka sampai ke Petaling makin berleluasa sekarang," ujar Bob Azro.

"Sebelum ni dekat simpang lampu isyarat kilang gula Shah Alam, sekarang dah bergerak ke Petaling Jaya pula, harap ada tindakan pihak berkuasa," kata Khidir Kamaruddin.

"Apa fungsi dia pakai benda dekat leher itu kalau dia boleh gerakkan tengkuk? soal Muhd Farhan.

Namun, masih belum ada sebarang kenyataan polis berhubung isu terbabit dan orang ramai yang mempunyai maklumat diminta hadir ke balai polis berhampiran untuk membuat laporan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram