SEHARI sebelum Ramadan tiba, orang ramai dikejutkan dengan kemalangan membabitkan seorang pelajar sekolah rendah yang maut digilis sebuah treler ketika dalam perjalanan pulang dari sekolah di Kampung Telok Gong, Pelabuhan Klang, Selangor.
Maut di lokasi kejadian, insiden itu nyata mengundang 1001 kesedihan buat masyarakat khususnya mereka yang berada di lokasi kejadian.
Namun, di sebalik kemalangan terbabit, orang ramai mula menghentam dan mengecam tindakan pemandu treler tersebut yang didakwa memandu dalam keadaan berbahaya.
Dituduh sebagai punca kematian murid berkenaan, pemandu lelaki itu dipukul dan cermin kenderaannya turut dipecahkan oleh beberapa individu di lokasi kejadian.
Lebih menyedihkan, rakaman kamera dashcam dan barangan peribadi pemandu itu turut dirampas oleh individu yang tidak dikenali.
Tampil mempertahankan lelaki terbabit, isterinya mendakwa suaminya tidak bersalah dalam kejadian itu, malahan beberapa rakaman kamera dashcam juga menunjukkan insiden tersebut tidak disengajakan.
"Jangan ingat korang boleh terlepas, kau ingat suami aku itu kayu ke yang korang pukul sampai pecah muka suami aku.
"Aku akan pastikan korang semua terima balasannya, dah terang-terang suami aku tak bersalah tapi tanpa penjelasan korang terus pukul dia.
"Dah la kena pukul, pecahkan semua cermin lori, sempat lagi korang curi kamera dashcam serta barang-barang dalam lori suami aku," ujarnya di laman TikTok.
Mangsa ketika ini dikhabarkan sudah menerima rawatan di hospital dan isterinya akan membuat laporan polis atas nasib yang menimpa suaminya.
Majoriti sudah menghubungi isteri mangsa namun masih belum ada sebarang jawapan diterima setakat ini dan orang ramai dinasihatkan untuk tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kejadian tersebut. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram