Perpindahan anak jati ke Sabah FC dikatakan punca KL City tempang


  • Podium
  • Khamis, 23 Mac 2023

Pasukan KL City FC masih buntu dalam mencari kemenangan sulung pada saingan musim ini. — AFC

TINDAKAN pengurusan pasukan KL City FC yang merombak sebilangan pemain dengan rekod cemerlang pada musim lepas nyata mengundang kesalan dalam kalangan penyokong.

Bekas naib juara Piala AFC 2022 dan juara Piala Malaysia 2021 itu semakin merudum persembahannya selepas hanya mencatatkan tiga keputusan seri dan tewas sekali ketika menentang pasukan Johor Darul Takzim (JDT).

Beberapa pemain yang pernah menjulang KL dalam kejayaan musim lepas kini sudah mula berhijrah ke pasukan lain dengan ia dilihat sebagai satu keputusan yang merugikan buat anak-anak buah Bojan Hodak.

Bekas tonggak pertahanan KL, Irfan Zakaria merupakan antara pemain yang meninggalkan pasukan itu selepas mengambil keputusan untuk menyarung jersi Sabah FC pada musim ini.

Posisi yang ditinggalkan pemain itu kini didominasi oleh dua pemain iaitu Muhammad Fauzi dan Giancarlo Gallifuoco yang kerap kali diturunkan dalam perlawanan sebelum ini.

irfan

Irfan Zakaria antara tonggak pertahanan KL City yang meninggalkan pasukan itu pada musim ini. — Facebook/KLCity

Namun, rata-rata penyokong menganggap kehilangan Irfan merupakan punca mengapa skuad Warga Kota itu masih buntu mencari kemenangan selepas gawang mereka telah dibolosi sebanyak tujuh kali setakat ini.

"Sayang lepaskan Irfan Zakaria tu, pengalaman luas di peringkat kebangsaan tapi bila pengurusan rombak pemain dan ambil pemain import, makin merudum KL musim ini. Irfan tu pun ke mana entah hilang makin sepi dah," ujar Ahmad Fakrul.

"Sepatutnya tak perlu beli pemain bagai, hanya kekalkan pemain lama yang cemerlang musim lepas untuk kekalkan momentum keserasian pasukan," kata Mohd AziyNizam.

"Dalam era Bernard merupakan antara pasukan sederhana yang tidak akan rombak pasukan, sejak dua musim lepas mereka akan mengekalkan pemain terbaiknya selama mungkin. Irfan Zakaria ke Sabah sebab tertarik dengan (Datuk Ong) Kim Swee, kalau tidak mesti kekal di KL," jelas Zul Zuhelmi.

Irfan yang ketika ini beraksi bersama Sabah merupakan antara pilihan utama Kim Swee apabila kerap menyenaraikan pemain itu di kesebelasan utama.

Satu kerugian buat pasukan KL kerana melepaskan bekas pemain kebangsaan itu ke pasukan lain dengan benteng pertahanan skuad Bojan ketika ini terlampau rapuh dan mudah dibolosi jentera serangan pasukan lawan.

Bakal melayan kunjungan Selangor FC di Stadium Cheras pada 31 Mac nanti, penyokong semestinya mahu menyaksikan tiga mata penuh diraih skuad Warga Kota bagi memperbaiki kedudukan di carta liga. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram