TMJ belum tubuh kelab bola sepak wanita, fans awal-awal petik nama Intan Sarah


  • Podium
  • Rabu, 22 Mac 2023

Intan Sarah disebut sebagai calon pemain paling sesuai buat JDT sekiranya pasukan itu menubuhkan skuad bola sepak wanita.  — Instagram/IntanSarah

SUSULAN kejayaan pasukan Johor Darul Takzim (JDT) dalam mendominasi bola sepak kategori lelaki di Malaysia, pemiliknya, Tunku Ismail Sultan Ibrahim (TMJ) dikhabarkan sedang dalam perancangan untuk menubuhkan pasukan wanita JDT.

Tunku Ismail sebelum ini menjawab satu ciapan sebuah portal sukan mengenai seorang pemain bola sepak wanita kebangsaan, Steffi Sidhu yang mengharapkan kelab gergasi Liga Malaysia itu menubuhkan sebuah pasukan wanita di Johor.

“Memang dalam perancangan. Ada sesiapa nak main untuk pasukan wanita JDT?,” ciap TMJ.

Kian hangat diperkatakan di laman media, seorang pemain ternama pasukan wanita negara, mula meniti di bibir peminat yang mensasarkan individu terbabit sebagai pilihan utama untuk diserap masuk ke pasukan JDT.

Intan Sarah Anisah Zulgafli disebut sebagai calon utama pemain di JDT sekiranya idea penubuhan pasukan wanita itu direalisasikan.

Pemain berusia 24 tahun itu merupakan antara bintang futsal paling menyerlah ketika membantu pasukan negara meraih pingat gangsa dalam kejohanan Sukan SEA 2021.

Mewakili kelab Kelana United FC pada tahun ini, Intan dikatakan mahu memberikan fokus dan tumpuan penuh kepada bola sepak bagi merebut tempat untuk mewakili Malaysia.

tan

Intan Sarah ketika mewakili skuad futsal negara di kejohanan Sukan SEA 2021. — Instagram/IntanSarah

Turut tersenarai untuk menyertai skuad Malayan Tigress bagi menghadapi saingan Sukan SEA 2023 di Phnom Penh, Kemboja pada Mei depan membuktikan betapa pemain itu sememangnya layak diserap masuk ke JDT satu hari nanti.

Dalam pada itu, sesetengah pihak mendakwa bola sepak wanita di Malaysia masih ketinggalan jauh dengan ketiadaan pelan pembangunan akar umbi di bangku persekolahan.

Kurang pendedahan dalam kalangan pelajar sekolah, kejohanan bola sepak bagi kategori wanita masih kurang dipertandingkan di peringkat daerah.

"Di sekolah pun tak ada kejohanan bola sepak wanita peringkat MSSM, MSSD, macam mana nak berkembang ke tahap lebih tinggi," ujar Roy Rz.

"Biar lambat daripada tiada, dulu pasukan lelaki kita lebih hebat dari Jepun dan Korea tapi sekarang lihat di mana mereka, lambat ataupun awal bukan penentu yang penting perlu ada perancangan rapi," jelas Alvin Iskandar Yap.

Justeru, bagi mengangkat sukan bola sepak wanita di Malaysia, satu usaha dan kaji selidik perlu dijalankan bermula daripada peringkat sekolah agar lebih ramai pemain ataupun pelapis muda dapat dibentuk.

Ditambah pula dengan perkhabaran yang dikongsikan oleh TMJ, ia dilihat sebagai satu lonjakan buat setiap pasukan dalam negara untuk membuka mata dan melihat perkara itu sebagai kepentingan yang perlu di mulakan dalam tempoh masa terdekat. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram