Keyakinan makin memuncak, fans JDT ramal laungan 'siuuu' bakal bergema di SSI


  • Podium
  • Rabu, 22 Mac 2023

Pemain berusia 25 tahun itu sudah mengumpul sembilan gol peribadi bersama Harimau Malaya. — Facebook/FAM

DALAM mempersiapkan pasukan untuk kejohanan Piala Asia tahun depan, skuad kebangsaan dilihat cukup bersungguh-sungguh mencari formula terbaik.

Ketua jurulatih, Kim Pan-gon tentunya paling bersungguh-sungguh memastikan strategi dirangka menerusi keputusan dibuat membawa beberapa wajah baharu ke dalam kem latihan berpusat membuahkan hasil.

Ia merupakan sebagai persiapan bagi menghadapi dua perlawanan persahabatan Kelas 1 menentang Turkmenistan pada Khamis dan Hong Kong pada Selasa akan datang.

Aksi yang bakal berlangsung di Stadium Sultan Ibrahim, Johor itu semestinya akan dihadiri ribuan penyokong yang tidak sabar-sabar untuk menyaksikan persembahan terbaik daripada pemain Harimau Malaya.

Antara nama yang pastinya menarik perhatian ramai ialah pemain sayap lincah, Faisal Halim dengan rekodnya bersama skuad negara sukar untuk dipertikaikan.

Pandangan itu pastinya turut dikongsi Pan-gon apabila sumbangan pemain berusia 25 tahun tersebut membantu pasukannya menamatkan saingan Piala AFF di peringkat separuh akhir.

336878311_747668930041795_589797339067812166_n

Pan-gon sedang berusaha mencari formula terbaik buat skuad Harimau Malaya. Facebook/FAM

Bagaimanapun, Faisal ketika ini sedang dalam prestasi yang kurang meyakinkan apabila masih mencari jaringan sulungnya bersama Selangor FC.

Meskipun sudah melakukan empat bantuan jaringan daripada lima penampilan Liga Super, penyokong bola sepak tanah air semestinya mengharapkan dia dapat mencetak gol peribadi dengan lebih kerap.

Ia adalah kerana ramai daripada mereka sudah merindui gaya sambutan jaringan Faisal yang dilihat mengambil inspirasi daripada legenda bola sepak, Cristiano Ronaldo.

Namun, menerusi satu hantaran di Facebook penyokong Johor Darul Takzim (JDT), JDTFC, keyakinan mula memuncak terhadap pemain yang juga dikenali sebagai 'Mickey' itu.

"Mickey dan rakan-rakan dilihat begitu gembira sekali berlatih pada hari kedua latihan di Johor, mana tidaknya fasiliti yang lengkap dan serba canggih membuatkan pemain-pemain Harimau Malaya berasa teruja dan bersemangat.

"Adakah laungan 'siuuu' akan bergema di Stadium Sultan Ibrahim, Johor pada 23 dan 28 Mac ini?" tulisnya.

Tinjauan di ruangan komen mendapati rata-rata pengikut fanatik skuad kebangsaan turut menyokong pandangan yang menerima pelbagai respons positif itu.

"Insya-ALLAH, dengan semangat berpasukan yang bakal dipersembahkan oleh semua pemain yang berdedikasi serta bervisi, pasti akan ada 'siuu' daripada Faisal dan rakan-rakannya," kata Hamidon Ismail.

"Yang lepas tu, biar lah. Mungkin terlebih emosi sebelum ini kerana saya sebagai penyokong JDT tetap menghargai bakat dia sebagai pemain tempatan," kata Amerullah Abdul Razak.

"Pada saya, tidak kiralah dia daripada mana-mana pasukan sekali pun, kita akan sokong mereka demi Harimau Malaya," kata Mohdcai Cai.

Setakat ini, Faisal sudah mengumpul 19 penampilan bersama skuad kebangsaan dengan sembilan gol sudah dijaringkan, termasuk empat daripadanya hadir ketika aksi Piala AFF 2022. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram