'LAPTOP Cabuk' menemui pembaca sekali lagi. Berinspirasikan minda tua yang mungkin sudah berkarat, karya ini dan seterusnya akan cuba menyingkap cerita di sebalik tabir dan sesuatu yang mungkin terlepas daripada pengamatan ramai untuk sama-sama memeriah dan meraikan Liga Malaysia musim 2023.
BAHASA tubuhnya pada Jumaat mungkin tidak menyerlahkan perbezaan terlalu ketara, namun Tan Cheng Hoe tidak berselindung yang dia dirundung kecewa.
Menghangatkan lagi bahang menjelang pertemuan dengan Johor Darul Takzim (JDT), Ketua Jurulatih Selangor FC itu lebih dahulu menguar-uarkan ia satu perlawanan yang mereka tidak rela tewas dalam memanjangkan rentetan tanpa kalah pada awal musim.
Namun, pada penghujungnya, Selangor FC tidak hanya ditundukkan, malah pintu golnya dibolosi sehingga empat kali dalam pada pasukan Lembah Klang itu diatasi daripada segala serba-serbi di sebalik kedudukan pada 45 minit pertama terikat 0-0.
“Saya ambil tanggungjawab penuh,” ujarnya.
Cheng Hoe memenangi Jurulatih Terbaik Tahunan di Anugerah Bola Sepak Kebangsaan 2016. — Facebook
Jauh daripada menawarkan sebarang alasan, Cheng Hoe sebaliknya meluahkan kekagumannya terhadap JDT, lawan yang dianggapnya terlalu unggul pada malam berkenaan.
“Sebagai jurulatih, memang saya kecewa dan tidak jangka dibolosi sampai empat gol. Itu satu margin yang besar,” katanya kepada Laptop Cabuk sehari selepas kekalahan itu.
“Hakikatnya ialah tidak mudah untuk bersaing dengan JDT. Mereka sebuah pasukan berpengalaman, memiliki rekod yang baik dan banyak kali beraksi dalam ACL (Liga Juara-Juara Asia),” tambahnya.
Untuk rekod, perlawanan terakhir kedua-dua pasukan menyaksikan Gergasi Merah hanya tewas tipis 1-2 kepada JDT dalam perlawanan akhir Piala Malaysia 2022 di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada November tahun lalu.
Aksi itu merupakan satu-satunya perlawanan Selangor FC menentang JDT selepas Cheng Hoe, ketua jurulatih Kedah dari 2014–2017, mengambil-alih skuad tersebut.
Yazan Al-Arab (kiri) mengasak penyerang JDT, Diogo Luis Santo. — Facebook/Selangor FC
Cheng Hoe, Jurulatih Terbaik Tahunan di Anugerah Bola Sepak Kebangsaan 2016, berkata, apa yang membezakan persembahan Selangor FC dalam separuh pertama dan kedua pada Jumaat ialah ketidakupayaan mereka mengekalkan penumpuan penuh yang sama.
“Kami berupaya bersaing dengan lawan sepanjang kira-kira 60 minit kerana kami sedang menunjukkan kemajuan yang baik mengikut tempo permainan ketika itu.
“Kemudian dalam separuh masa kedua, kami kerap kehilangan bola dan hilang bentuk pasukan. Akibatnya, kami terlalu kurang menembusi ke kawasan lawan.
“Bila kehilangan bola, kami terpaksa menyerap tekanan dan deretan serangan daripada JDT. Dan mereka datang kepada kami dengan tidak berhenti-henti.
“Dari detik itulah, pemain-pemain saya mula hilang penumpuan. Kami sedar kami tidak mampu bertahan dengan lebih lama, dengan barisan depan lawan (Fernando Forestieri, Diogo Santo dan Arif Aiman Hanapi) menggandakan asakan.
“Pemain-pemain perlu belajar sesuatu apabila hilang bola. Reaksi mereka perlu dengan segera, bertindak tidak boleh tunggu kerana pihak lawan ada kualiti yang tersendiri. Itulah kita perlu belajar daripada situ.
“Saya perlu akui bahawa tidak mudah untuk menandingi sebuah pasukan yang memiliki keupayaan taktikal dan teknikal yang begitu mantap,” katanya.
Tan Cheng Hoe memberikan arahan kepada pemain-pemain Selangor. — Facebook/Selangor FC
Di sebalik kekalahan sulung itu, Cheng Hoe mahu terus mengekalkan pendekatan berdiplomasi dengan pemain-pemainnya.
Padanya, satu kekalahan tidak harus mengubah perwatakan dan pendekatan seorang jurulatih, yang perlu terus menunjukkan kepercayaan dan keyakinan terhadap pemain-pemain di bawah bimbingannya.
Seorang ‘gentleman’ (budiman)?
“Saya sentiasa bersikap jujur dengan semua pemain saya,” ujarnya.
“Saya kekalkan sikap terbuka dan telus dengan mereka.
“Saya pilih untuk memimpin melalui teladan dengan memberi nasihat dan tunjuk ajar. Tapi saya tidak sekali-kali akan berkompromi dengan masalah disiplin. Jika sesekali saya meninggikan suara, itu adalah ‘wake-up call’ (amaran untuk menyedarkan) buat mereka,” katanya.
Pasca perlawanan dengan JDT itu, ada juara suara-suara menerusi media sosial yang mempertikaikan keputusan Cheng Hoe menggantikan pemain sayap, Faisal Abdul Halim, yang rata-rata dianggap pemain yang mampu menghidupkan serangan.
“Ada satu atau dua pertukaran menyebabkan kita dibolosi gol. Dalam separuh masa kedua, kita kalah daripada segi ‘intensity’ (keamatan) perlawanan (ketika) fokus setiap pemain cukup penting.
“Mungkin ramai tertanya kenapa saya tukar Yazan (Al-Arab). Tapi saya ada tiga atau empat pertahanan yang dah dapat kad kuning. Itu sebab saya masukkan Khuzaimi Piee untuk ganti Yazan. Kita bawa (Yohandry) Orozco untuk cuba dapatkan jaringan juga.
“Faisal Halim main begitu baik dalam separuh pertama. Dalam separuh kedua, dia ada sedikit kekejangan otot, kita pun tak nak ambil risiko untuk musim yang masih panjang, tak nak dia dapat kecederaan yang lebih teruk lagi, itu sebab kita tukar dia,” jelasnya.
Ayron del Valle. — Facebook/Selangor FC
Jurulatih itu berkata, satu-satunya sagu hati ketika ini ialah kekalahan sulung itu berlaku pada awal musim, yang meluangkan banyak masa untuk Selangor FC memperbetulkan keadaan dan meningkatkan keupayaan.
“Musim masih awal. Kita perlu tingkatkan prestasi pasukan dan tempoh rehat (dua minggu untuk kalendar bola sepak antarabangsa) meluangkan sedikit masa untuk barisan kejurulatihan (termasuk penolongnya, Nidzam Jamil dan Ramon Marcote) meningkatkan persiapan.
“Buat pasukan seperti Selangor, adalah penting untuk kami kembali ke landasan kemenangan.
“Untuk itu, pemain-pemain hendaklah meningkatkan permainan ke satu tahap lagi. Pada masa sama, mereka perlu kekal tenang dan lebih pintar membuat keputusan,” katanya lagi. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram