'Sarung jersi kebangsaan peluang terbaik buat Fayadh'


  • Podium
  • Isnin, 20 Mac 2023

Fayadh (kiri) ketika berada dalam sesi latihan Harimau Malaya di Padang Seri Gelam, Johor. — Facebook/FAM

MENJELANG aksi persahabatan skuad Harimau Malaya pada hujung bulan ini, ketua jurulatih, Kim Pan-gon melakukan sedikit perubahan terhadap pasukan pilihannya.

Perlawanan menentang Turkmenistan pada 23 Mac serta Hong Kong pada 28 Mac pastinya menjadi satu medan terbaik untuk menilai kemampuan skuad secara menyeluruh.

Jika sebelum ini penyokong lebih kerap menyaksikan bintang-bintang tanah air, kini pengendali kelahiran Korea Selatan itu mengambil keputusan untuk membawa beberapa wajah baharu.

Dua pemain naturalisasi baharu, Paulo Josue dan Endrick dos Santos merupakan antara yang diberikan peluang menyarung jersi skuad kebangsaan.

Namun, apa yang menarik perhatian pastinya mengenai segelintir pemain tempatan yang pastinya tidak sabar-sabar untuk menampilkan aksi terbaik demi maruah tanah air.

Pemain sayap Kedah Darul Aman (KDA) FC, Fayadh Zulkifli menjadi salah seorang dipanggil buat pertama kali selepas sudah seberapa lama menunggu peluang berkenaan.

1692141

Fayadh merupakan antara aset utama skuad Sang Kenari. Facebook/KDA FC

Meskipun tempatnya dalam kesebelasan utama Sang Kenari sedikit tergugat musim ini, dia masih mampu mempamerkan aksi terbaik setiap kali dimasukkan sebagai pemain simpanan.

Persoalannya, adakah Pan-gon akan memilih untuk memberikannya peluang beraksi dengan kerap atau dia hanya akan diletakkan di bangku simpanan?

Bagi seorang penyokong KDA FC, Don K-Rul Izham, Fayadh memiliki ruang terbaik untuk mengisi kekosongan yang ditinggalkan kapten skuad kebangsaan, Safawi Rasid.

"Kenapa Fayadh dapat peluang? Ini berkemungkinan statistik Fayadh musim 2022 agak baik. Dia berada di kedudukan ketiga dari segi sumbangan di hadapan pintu gol di belakang Arif Aiman (Hanapi) dan Faisal Halim.

"Fayadh mengumpul 11 gol dan empat bantuan gol sepanjang musim lalu. Dia juga merupakan pemain terbaik di peringkat kelab pada 2022," katanya.

Berdasarkan statistik itu, pemain kelahiran Baling, Kedah tersebut mempunyai kebolehan untuk memberi ancaman terhadap pihak lawan seperti mana rakan sepasukannya yang lain.

336284221_515762197395073_3697730980554338843_n

Fayadh (kanan) masih mencari jaringan pertamanya bersama skuad Sang Kenari musim ini. Facebook/KDA FC

Tetapi, dengan lambakan pemain sayap dalam skuad ketika ini, Fayadh berkemungkinan terpaksa akur diletakkan di bangku simpanan sebelum dimasukkan pada penghujung permainan.

Pendekatan terbabit sepertinya bersesuaian dengan kehendak Pan-gon yang masih tercari-cari formula terbaik menjelang aksi Piala Asia pada awal tahun depan.

Tambah Don K-Rul lagi, panggilan ke kem latihan Harimau Malaya pasti menjadi satu kelebihan apabila dia berpeluang menimba ilmu serta pengalaman.

"Dari aspek sesi latihan yang lebih tinggi, bersaing dengan pemain-pemain sayap lebih baik dan pengalaman mewakili Malaysia. Tahniah Fayadh. Ada peluang, cuba buktikan sesuatu nanti," katanya.

Fayadh sebelum ini tidak pernah dipanggil ke dalam skuad remaja kebangsaan meskipun dia sudah diperkenalkan dalam dunia bola sepak tanah air seawal usia 22 tahun. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram