Skuad 'ultimate' HM ada 3 senjata baham lawan aksi persahabatan di SSI


  • Podium
  • Rabu, 22 Mac 2023

Sebahagian pemain Harimau Malaya menjalani latihan di kelab JDT bagi menghadapi aksi persahabatan menentang Turkmenistan dan Hong Kong. — Facebook

PASUKAN Harimau Malaya bakal melayan kunjungan Turkmenistan dan Hong Kong pada aksi persahabatan antarabangsa Tier 1 di Stadium Sultan Ibrahim (SSI), Iskandar Puteri, Johor pada Khamis.

Biarpun perlawanan persahabatan, aksi kali ini pastinya menarik perhatian jutaan penyokong tanah air yang mahu menonton persembahan pemain-pemain terbaik yang dikumpulkan ketua jurulatih Kim Pan-gon.

Pengendali dari Korea Selatan itu tentunya menggunakan segala ramuan rahsia yang ada dalam tangannya untuk menyenarai pendek pemain pilihan bagi aksi lebih penting iaitu kejohanan Piala Asia 2023.

Berdasarkan prestasi semasa skuad kebangsaan, pasukan Harimau Malaya dirasakan boleh membaham kedua-dua lawannya pada perlawanan yang bakal berlangsung di SSI pada 23 dan 28 Mac ini.

Berikut tiga faktor yang dilihat sebagai 'senjata' pasukan Harimau Malaya untuk mengatasi Turkmenistan dan Hong Kong bagi kedua-dua perlawanan tersebut.

336322595_3130309343932833_1084536754981089012_n

Pemain Harimau Malaya menjalani latihan di fasiliti kelab Johor Darul Takzim. — Facebook

1) Dibarisi pemain 'dream team'

Nama-nama yang dipanggil ke skuad kebangsaan kali ini ibarat senarai ultimate Harimau Malaya kerana dilihat menghimpunkan pemain yang terbaik dalam kalangan yang terbaik.

Senarai itu membentuk satu pasukan impian atau dream team kerana setiap pemain memiliki kelebihan masing-masing dalam mempamerkan disiplin terbaik mereka ketika beraksi di atas padang nanti.

Hampir 90 peratus daripada mereka juga berada dalam pasukan ketika membantu skuad Harimau Malaya layak ke Piala Asia 2023 sekali gus meleburkan penantian 42 tahun ke kejohanan tersebut.

336878734_664191798807685_4492384066205276365_n

Arif Aiman (kanan) dan Shahrul Saad antara tonggak Harimau Malaya yang membantu pasukan ketika kelayakan Piala Asia 2023. — Facebook

2) Ranking yang baik

Kedudukan Malaysia dalam ranking dunia FIFA ketika ini memberi satu signal positif bahawa Harimau Malaya boleh mengatasi Turkmenistan dan Hong Kong.

Malaysia mengumpul mata sebanyak 1066.6 sekali gus berada di ranking 145 ketika ini meninggalkan Hong Kong yang berada satu anak tangga di bawah iaitu 146.

Harimau Malaya dirasakan mampu memberi saingan sengit kepada Turkmenistan di tangga ke-135 ketika ini berdasarkan persembahan ketika pusingan kelayakan Piala Asia 2023 yang menyaksikan Malaysia menang 3-1 hasil gol Safawi Rasid, Faisal Halim dan Corbin Ong.

336516411_889648215456002_6147406154994581994_n

Endrick dan Paulo Josue dirasakan bakal memberi impak positif di bahagian tengah. — Facebook

3) Kehadiran naturalisasi baharu

Panggilan kebangsaan buat dua tonggak naturalisasi baharu, Endrick dos Santos dan Paulo Josue pastinya akan memberikan impak positif kepada pasukan dengan ramuan Samba kedua-dua bintang dari Brazil itu.

Mereka bukan sahaja beraksi cemerlang dengan kelab masing-masing ketika ini, malah menunjukkan keserasian cukup tinggi sepanjang di kem latihan Harimau Malaya memandangkan mereka boleh saling berkomunikasi dengan jelas.

Malah, gandingan dua pemain itu akan memberikan impak di posisi tengah lebih-lebih lagi Harimau Malaya kehilangan tonggak playmaker sejati selepas Syamer Kutty mengalami kecederaan lutut dan perlu berehat panjang. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram