'Cuba berpijak di bumi nyata', fans Perak mula 'hadam' prestasi semasa skuad LTK


  • Podium
  • Ahad, 19 Mac 2023

Perak FC gagal memikat hati penyokong The Bos Gaurus apabila mempamerkan aksi terumbang-ambing musim ini.— Facebook/PerakFC

'BAGAI jatuh ditimpa tangga'. Peribahasa ini sesuai digambarkan dengan prestasi semasa pasukan Perak FC yang ketika ini dikatakan semakin merudum dan buntu melakar keputusan positif dalam saingan Liga Super di permulaan musim ini.

Persembahan kurang memberangsangkan yang dipamerkan anak-anak buah Datuk Lim Teong Kim dalam lima perlawanan terdahulu nyata mengundang kecaman dan pelbagai spekulasi dalam kalangan penyokong yang semakin kecewa dengan kelab tersebut.

Setakat ini, hanya satu kemenangan berjaya diperoleh skuad Seladang ketika menentang Kuching City FC dengan empat lagi perlawanan, mencatatkan dua keputusan seri dan dua tewas.

Kehadiran Teong Kim yang pada awalnya menerima sokongan ramai, kini mula berubah selepas bekas pengendali skuad bawah 16 kebangsaan itu dilihat masih tercari-cari gandingan dan taktikal serangan terbaik dalam pasukannya.

Kekalahan di hadapan penyokong sendiri ketika bertemu Sri Pahang FC pada Khamis menambah lagi duka penonton yang seakan-akan sudah letih untuk menaruh harapan bagi saingan seterusnya nanti.

tewas

Perak FC tewas 3-0 dalam pertemuan dengan pasukan Sri Pahang FC di Stadium Negeri Perak Darul Ridzuan. — Facebook/PerakFC

Sesetengah pihak mula menerima hakikat bahawa prestasi dan masa hadapan Perak mungkin tidak seindah yang diimpikan dengan rata-ratanya terpaksa akur dengan situasi yang melanda ketika ini.

Muhamad Fanikin berpendapat, penyokong ketika ini perlu sedar bahawa pasukan Perak masih belum boleh berada di puncak prestasi seperti yang dimahukan.

"Cubalah berpijak di bumi nyata, ada di kalangan penyokong Perak ni tak sedar diri, Perak naik Liga Super pun sebab nak penuhkan kuota, lagi nak komen macam-macam, jatuh ke Liga Perdana pun sebab isu dalaman dan gaji, lagipun pemain yang ada sekarang bukannya berpengalaman sangat," ujarnya.

"Aku boleh terima sebab Perak main memang taraf Liga M3, naik liga pun sebab nasib jadi tolonglah jangan menang nanti lupa diri, biar seri atau kalah pun tak apa, sebab kalah sudah tentu tapi menang belum tahu," kata Wan A. Hasan.

Tidak dinafikan, beberapa isu dalaman pernah terpalit dalam pengurusan Perak dengan isu tunggakan gaji yang membelenggu pemain pasukan itu sebelum ini.

Perak FC dikenakan sekatan pendaftaran pemain daripada FIFA susulan isu tunggakan gaji berjumlah RM1.7 juta pada awal musim 2021.

Namun, Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) menarik balik larangan perpindahan terhadap pasukan Perak FC selepas kelab itu melunaskan semua gaji tertunggak pemainnya pada tahun lalu.

Dalam pada itu, dakwaan mengatakan Perak tidak memiliki pemain berpengalaman tertumpu kepada penyerang Harimau Muda, Hadi Fayyadh yang sepatutnya dijadikan sandaran utama pasukan pada musim ini.

faya

Hadi Fayyadh merupakan sandaran utama pasukan di bahagian serangan. — Facebook/PerakFC

Fayyadh yang beraksi di Liga Jepun (J-League) selama tiga musim sejak 2019 membawa seribu satu harapan buat peminat ketika pemain itu diumumkan sebagai penyerang baharu awal musim ini.

Namun, perlawanan demi perlawanan, Fayyadh dikatakan masih gagal menggalas tanggungjawab sebagai jentera serangan pasukan apabila masih buntu dalam menjaringkan gol.

Kerap dibariskan dalam kesebelasan utama, gaya permainan Fayyadh kian merudum dan tidak menepati kehendak jurulatih mahupun penyokong yang semakin dahagakan kemenangan.

"Perak perlukan seorang pemain yang betul-betul berpengalaman supaya boleh tunjuk ajar pada adik-adik, Hadi Fayyadh yang main di Jepun itu pun masih tercari rentak dan belum jaringkan gol," kata Aiman Radzi.

"Kalau boleh Perak kena ada satu pemain di posisi tengah yang berpengalaman, kalah menang memang adat tapi corak permainan pasukan itu pun penting, kalau menarik mesti ramai penyokong akan turun stadium," jelas Zamani Hamdan.

Justeru, rata-rata penyokong kini semakin akur dengan prestasi skuad Seladang dan ia semestinya bukan satu perkara yang dimahukan oleh barisan kejurulatihan dan pemain itu sendiri.

Hanya kemenangan yang dimahukan oleh penonton ketika ini dengan tiga mata penuh dalam perlawanan seterusnya nanti menjadi medan pertaruhan atau mungkin peluang terakhir untuk Teong Kim membuktikan beliau mampu mengendalikan Perak dengan baik.

Perak bakal berkunjung ke Stadium Negeri Pulau Pinang pada 31 Mac depan untuk bertemu Penang FC dan tumpuan penyokong selepas ini pastinya mahukan kemenangan bagi merawat kekecewaan dihadapi ketika ini. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram