'Siap sedia... siuuuuuu', Faisal ada tonik sempoi robek gawang JDT


  • Podium
  • Jumaat, 17 Mac 2023

Faisal Halim dijangka akan meledak gol menjelang pertemuan Selangor FC dan Johor Darul Takzim (JDT) di Stadium MBPJ. — Instagram/FaisalHalim

Penyerang sensasi Selangor FC, Faisal Halim merupakan sandaran utama penyokong menjelang pertemuan pasukan itu dengan kelab Johor Darul Takzim (JDT) pada Jumaat malam.

Musuh tradisi itu bakal membuat perhitungan di Stadium MBPJ tepat pukul 9 malam nanti dengan tiga mata penuh pastinya menjadi rebutan kedua-dua pasukan terbabit.

Selangor yang kini berada di kedudukan ketiga carta Liga Super berpeluang untuk menguasai posisi pendahulu liga selepas hanya dipisahkan dengan dua mata berbanding JDT.

Merupakan seorang pemain licik dan mempunyai larian pantas, khidmat pemain yang lebih dikenali sebagai 'Mickey' itu pastinya ditagih dalam kesebelasan utama pasukan bagi merobek gawang dan barisan pertahanan skuad Harimau Selatan.

Perkongsian di laman Instastory peribadi Faisal baru-baru ini menunjukkan betapa pemain itu seperti sedang mendapatkan tonik terbaik bagi mencapai kemenangan dalam pertemuan itu nanti.

kaus

Faisal Halim mengenakan gaya rambut baharu sebelum perlawanan bertemu JDT. — Instagram/FaisalHalim

Selain giat menjalani latihan di padang, Faisal juga telah memperkemaskan rupa dan penampilannya apabila mengenakan gaya rambut baharu sehari sebelum perlawanan bermula.

Faisal yang menerima gelaran 'budak nakal' Selangor, dijangka akan meledak jaringan di hadapan penyokong sendiri dan sekali lagi meraikan jaringan dengan gaya 'siuu' yang sering dilakukan dalam perlawanan sebelum ini.

Aksi jaringan 'siuu' yang sering dilakukan Faisal Halim dalam perlawanan sebelum ini.

Dengan perkongsian dimuat naik itu, rata-rata penyokong sudah tidak sabar dan mula membayangkan kemenangan yang bakal diperoleh malam nanti.

"Dah sedia nak siuuuuu, dengan rambut baharu bergaya nak raikan gol depan penyokong stadium nanti," ujar Khairul Ismad.

"Memang lain macam tengok Faisal musim ini, dengan gaya rambut baharu dan sikap positif dia menampakkan yang dia betul-betul serasi dengan Selangor," kata Amar Haikal.

"Malam ni paling tidak Selangor mesti seri dan JDT tak akan boleh menang mudah macam perlawanan sebelum ini, tengok gaya dan keyakinan Faisal memang pasukan sekarang berada di haluan yang betul," tambah Amen Naqeb.

Menjelang beberapa jam sebelum perlawanan bermula, kedua-dua pasukan sudah tiba di Stadium MBPJ ketika ini bagi menjalani latihan terkahir dan menguji keadaan rumput padang.

Jurulatih Tan Cheng Hoe sekali lagi akan mempertaruhkan gandingan duo penyerang Ayron Del Valle dan Faisal Halim di bahagian hadapan bagi menembusi gawang skuad Harimau Selatan.

Laporan media sebelum ini mengatakan bekas pengendali skuad kebangsaan itu menjangkakan pertemuan sengit bakal berlaku dalam perlawanan itu nanti selain turut menasihatkan pemainnya supaya sentiasa tenang dan sabar dalam usaha mereka untuk menang.

“Saya telah memberitahu pemain untuk mengawal emosi mereka semasa situasi tegang, yang dijangkakan akan berlaku dalam permainan seperti ini. Saya tidak mahu lihat ada yang mendapat kad merah.

“Saya percaya mereka boleh menentang JDT, walaupun pasukan lawan mempunyai kelebihan," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram