[VIDEO] Meja kantin 'berkerak', ibu bapa kecewa sekolah di Lukut abai kebersihan buat murid


  • Tular
  • Selasa, 21 Mac 2023

Tangkap layar keadaan meja kantin di sebuah sekolah di Lukut yang didakwa kotor dan menjijikkan.

SEBUAH sekolah rendah di Lukut, Seremban, Negeri Sembilan didakwa gagal menjaga kebersihan kantin di hari pertama persekolahan yang baru sahaja bermula pada Isnin.

Ia susulan video tular memaparkan sebuah meja di kantin sekolah terbabit yang dilihat dalam keadaan kotor dan berhabuk tebal yang nyata mengundang rasa jijik dalam kalangan ibu bapa mahupun pelajar.

Meskipun sesi persekolahan bagi tahun ini baru sahaja dimulakan, perkara itu sepatutnya tidak berlaku dengan pihak pengurusan perlu memantau segala aspek kebersihan sama ada di dalam bilik darjah mahupun di kantin sekolah.

Dikongsikan oleh salah seorang ibu bapa pelajar di sekolah berkenaan, ia sekali gus mengundang kecaman hebat di laman TikTok.

"Cepat buat laporan ke pihak PIBG, isu macam ni tak boleh dipandang ringan oleh sekolah kerana baru sahaja hari pertama," jelas Rohaida Ismail.

"Budak-budak pun jijik nak makan dekat situ apatah lagi kita yang dewasa, itu belum lagi tengok di dapur memasak takut kotor juga," ujar Amir Harris.

Dalam pada itu, orang ramai diminta untuk tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan isu terbabit.

Majoriti sedang berusaha mendapatkan penjelasan dari pihak sekolah berkenaan berhubung perkara tersebut.

Belum ada sebarang kenyataan rasmi daripada Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek mengenai video tular itu setakat ini. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram