Budak nakal JDT buat 'comeback', beri 3 faktor menggerunkan Selangor


  • Podium
  • Jumaat, 17 Mac 2023

Leandro Velazquez dijangka bakal disenaraikan dalam kesebelasan utama menjelang pertemuan dengan pasukan Selangor FC. — Facebook/JDT

PEMAIN tengah sensasi Johor Darul Takzim (JDT), Leandro Velazquez dikhabarkan sudah pulih lebih awal dari yang dijangkakan selepas menjalani rawatan intensif di Pusat Rawatan JDT.

Pemain itu yang sebelum ini dilaporkan mengalami kecederaan dengan kesan koyakan di bawah lutut, hanya diturunkan sebagai pemain gantian di penghujung separuh masa kedua dalam tiga perlawanan terdahulu musim ini.

Ketiadaan pemain kelahiran Argentina itu dalam kesebelasan utama sedikit sebanyak merencatkan persembahan skuad Harimau Selatan dan ia turut diakui oleh pengendalinya, Esteban Solari.

Memetik laporan MFL, Solari sebelum ini berkata bahawa ketiadaan pemain itu amat dirasai oleh keseluruhan pasukan.

"Leandro alami kecederaan koyak di bahagian bawah lutut dan saya tidak tahu berapa lama dia perlu berehat, harap tidak lama kerana dia pemain yang penting kepada pasukan," ujarnya.

Namun, kelibat Leandro yang sudah mula turun menjalani latihan penuh di padang baru-baru ini nyata mengundang reaksi positif dalam kalangan penyokong.

lanr

Leandro Velazquez sudah mula menjalani latihan penuh bersama rakan sepasukan lain. — Facebook/JDT

Sentuhan pemain itu amat ditagih oleh penonton dengan ia dijangka mendatangkan gerun kepada lawannya, Selangor FC dalam saingan kelima Liga Super pada Jumaat.

Terkenal dengan gelaran 'budak nakal' JDT, berikut merupakan tiga faktor utama yang perlu ditakuti oleh Gergasi Merah menjelang pertemuan musuh tradisi itu.

Pakar sepakan percuma

Leandro Velazquez sememangnya memiliki kepakaran dalam mengambil sepakan percuma dengan rekod sebelum ini menyaksikan pemain itu kerap menyumbang gol menerusi sepakan tersebut.

Jaringan pemain itu berjaya membantu JDT mencipta sejarah mara ke pusingan kalah mati saingan Liga Juara-Juara AFC (ACL) buat kali pertama selepas menundukkan gergasi Korea Selatan, Ulsan Hyundai 2-1 tahun lalu.

Jaringan menerusi sepakan percuma Leandro dalam saingan ACL peringkat kumpulan sebelum ini berjaya membantu skuad Harimau Selatan melayakkan diri ke pusingan kalah mati selepas menundukkan gergasi Korea Selatan itu dengan keputusan 2-1.

Terbaharu, Leandro turut menyumbang kepada kemenangan besar pasukannya selepas hantaran sepakan percumanya disambut baik oleh Fernando Forestieri pada minit ke 21.

JDT berjaya menang besar dengan keputusan 7-0 dalam pertemuan tersebut sekali gus menyaksikan kemenangan besar berjaya diperoleh Harimau Selatan di awal saingan musim ini.

Perancang pasukan

Import dari Argentina itu bertindak sebagai jentera yang menggerakkan bahagian tengah selain mampu mencetak gol buat Harimau Selatan.

Bijak dalam membuat hantaran dan lorongan ke rakan sepasukan, kebijaksanaan pemain itu dalam merancang pergerakan tengah sentiasa membuahkan hasil menerusi tempoh permainan laju yang diterapkan.

Lincah di hadapan gawang dan kerap mengucar-kacirkan barisan pertahanan pasukan lawan antara kebolehan yang ditagih penonton dalam setiap perlawanan.

Leandro juga sangat serasi dengan duo peledak JDT, Fernando Forestieri dan Bergson da Silva yang sentiasa melakukan larian-larian berbahaya hingga sukar dirantai pihak lawan.

Bijak membuat provokasi

Selain berkebolehan tinggi menjaringkan gol dan mempunyai skil individu menarik, Leandro juga sering terpalit dengan isu hangat ketika membuat provokasi dan serangan mental ke arah pasukan lawan.

Ia terbukti ketika perlawanan menentang Terengganu FC dalam perlawanan separuh akhir Piala Malaysia pada 2021 selepas pemain itu tertangkap sengaja 'berlakon' cedera akibat dikasari bekas bintang skuad Penyu, Faisal Halim.

Namun, setelah ulang tayang dibuat, Leandro didapati sengaja menambah 'garam' dalam perlawanan itu sekali gus menyebabkan Faisal berang dengan tindakan pemain tersebut.

Meskipun perbuatan itu dianggap taktik kotor oleh sesetengah pihak, namun tindakannya membuahkan hasil selepas JDT berjaya mencatat kemenangan 3-0 dalam perlawanan tersebut.

Maka tidak hairanlah mengapa kelibat pemain itu semakin dirindui oleh penyokong dengan panggilan 'budak nakal' yang diberi cukup melambangkan karakter serta kebolehan dimiliki di atas padang.

Pertemuan menentang Selangor di Stadium MBPJ Jumaat nanti pastinya bakal menjadi tumpuan ramai dengan Leandro dijangka kembali membuat penampilan dalam kesebelasan utama pasukan sekali gus mengutip tiga mata penuh dalam perlawanan tersebut. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram