'Selamat tinggal,' bekas rakan sepasukan kirim mesej buat Lucas Leiva


  • Podium
  • Ahad, 19 Mac 2023

Pemain antarabangsa Brazil itu pernah membantu Liverpool menjadi salah satu pasukan terbaik EPL. — Agensi

DUNIA bola sepak dikejutkan dengan pengumuman bekas pemain tengah Liverpool, Lucas Leiva yang mengambil keputusan bersara dari sukan berkenaan.

Pemain berusia 36 tahun yang ketika ini bersama kelab Brazil, Gremio menyampaikan berita itu pada Sabtu dengan mengatakan bahawa dia menghidapi penyakit jantung.

"Saya hanya boleh mengatakan yang saya cukup bersyukur dengan karier yang saya bersungguh-sungguh bina ini. Harinya sudah tiba saya mengucapkan selamat tinggal kepada padang bola sepak.

"Saya menamatkan tempoh permainan saya dengan cara yang saya kurang gemari. Saya memang mempunyai harapan untuk mengubah nasib, tetapi kesihatan adalah keutamaan," katanya dalam satu sidang media.

Pemain antarabangsa Brazil itu menyertai Liverpool pada 2007 dengan pada awalnya dia bergelut untuk dimasukkan ke dalam kesebelasan utama.

Meskipun berada dalam skuad The Kops selama sepuluh tahun, dia hanya sempat mengecapi kejayaan Piala Liga 2012 di samping muncul dalam pasukan yang menamatkan saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) pada musim 2013/14.

0_GettyImages-187460272

Lucas (kanan) pernah beraksi di samping Luis Suarez. — Agensi

Keputusan Lucas menerima respons banyak pihak, termasuk dua rakan sepasukannya iaitu Luis Suarez dan Philippe Coutinho menerusi akaun laman media sosial masing-masing.

"Sahabatku, tahniah di atas karier yang cukup membanggakan. Kami akan sentiasa menyokong anda sekeluarga," tulis Suarez di Twitter peribadinya.

Bagi Coutinho pula, dia yang pernah bersama-sama Lucas dalam mengawal posisi tengah Liverpool turut menyampaikan mesej di laman Instagram.

"Ia adalah satu kesempatan terbaik untuk saya beraksi di samping anda, sering menjadi contoh buat saya. Seorang pemenang di dalam dan luar padang," tulisnya.

Selain Liverpool, Lucas juga pernah mewakili kelab Itali, Lazio sebelum memilih untuk pulang ke negara kelahirannya pada jendela perpindahan musim panas lalu. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram