LIVERPOOL tersingkir daripada Liga Juara Juara Eropah selepas tewas sekali lagi di tangan Real Madrid menerusi agregat 2-6 dalam perlawanan kedua di Stadium Santiago Bernabeu, Madrid, Sepanyol.
Pengendalinya, Jurgen Klopp memilih barisan penyerang dengan meletakkan Darwin Nunez, Diogo Jota, Cody Gakpo dan Mohamed Salah dalam formasi 4-2-4 dalam pertemuan kedua itu.
The Reds mempunyai peluang awal pada separuh masa pertama tetapi terus buntu menemui kejayaan selepas ketinggalan 2-5 dalam perlawanan pertama di Stadium Anfield, England.
Separuh masa kedua, Klopp mengarahkan Jota dan trio serangannya untuk bermain lebih tinggi di atas padang bagi mendapatkan serangan terbaik dalam usaha mencipta kebangkitan.
Namun dia kemudian memutuskan untuk membuat perubahan dengan mengeluarkan Jota dan Nunez sebelum memasukkan Roberto Firmino serta Harvey Elliot yang mana tindakannya itu menimbulkan geram dan tidak puas hati dalam kalangan penyokong.
Karim Benzema menjaringkan gol ketika menentang Liverpool. — Agensi
Seorang penyokong di Twitter, @Ishank595 menulis: "Memang tidak masuk akal untuk menyingkirkan Nunez kerana ini adalah perlawanan terakhir minggu ini. Pemain gantian musim ini amat teruk."
Kata @PaulJewell96: "Nunez mungkin tidak mengharungi musim yang baik kali ini namun kelajuannya di atas padang memberikan saingan sengit kepada lawan."
@yaaboyojc pula menambah: "Klopp dan keputusannya membuat ramai mula ragu-ragu terhadap kejurulatihannya. Nunez tidak patut dikeluarkan tatkala pasukan terdesak untuk mendapatkan gol."
@theflxsportsfan juga bersetuju dan berkata, "Sebaik Nunez dikeluarkan, cabaran kepada lawan dari segi permainan terus berubah."
Pada perlawanan itu, Karim Benzema meledak jaringan buat Real Madrid bagi mencipta kemenangan 1-0 mengatasi Liverpool.
Dengan keputusan itu Madrid melangkah ke suku akhir dengan cukup bergaya menerusi kemenangan agregat 6-2. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram