MANCHESTER United berdepan masalah kecederaan menjelang perlawanan suku akhir Piala FA menentang Fulham pada Ahad ini.
Skuad The Red Devils sedang mencari kemenangan domestik pertama mereka sejak kemenangan terakhir direkodkan pada pusingan lima ke atas West Ham.
Sebelum ini, United dibelasah 0-7 oleh Liverpool dan seri 0-0 dengan Southampton yang berada di tangga ke-20 dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) dalam beberapa minggu terakhir.
Namun begitu, pasukan di bawah kendalian Eric Ten Hag berhasil mara ke peringkat lapan terakhir Liga Europa selepas menewaskan Real Betis 4-1 di Old Trafford sebelum menang 1-0 dalam perlawanan di tempat lawan di Sepanyol.
Ten Hag memilih untuk membuat beberapa perubahan pada kesebelasan utamanya untuk pertemuan itu dan dalam senarai itu dia tidak meletakkan Scott McTominay.
Perkara itu mengejutkan penyokong susulan ramai yang percaya bahawa McTominay akan menggantikan Casemiro yang digantung pada pertemuan dengan Fulham Ahad ini.
Pengendali dari Belanda itu menjelaskan bahawa McTominay tidak bermain menentang Real Betis kerana masalah kecil dan mungkin tidak cergas untuk menentang Fulham di Old Trafford.
“Kami perlu berjumpa dengan doktor berbincang mengenai keadaannya. Saya mempunyai idea tetapi saya perlu melihat perkembangan dengan beberapa pemain.
"Mengenai perlawanan terakhir, itulah sebabnya saya tidak membawanya masuk, Scott McTominay, kerana dia mempunyai beberapa masalah. Kita perlu melihat prestasinya nanti,” kata Ten Hag memberitahu media kelab mengenai rancangan barisannya.
Sekiranya McTominay tidak bersedia untuk menentang Fulham, United hanya mempunyai dua pemain tengah yang cergas untuk dipanggil iaitu Marcel Sabitzer dan Fred.
Dalam perlawanan lalu dengan Southampton, Bruno Fernandes bermula dalam peranan pemain tengah bertahan dan mungkin memainkan posisi sedemikian sekali lagi. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram