'Kalaulah sepakan penalti Salah menjadi' — Klopp


  • Podium
  • Ahad, 12 Mac 2023

Jurgen Klopp ketika mengucapkan tahniah kepada pemain-pemain Bournemouth. — Agensi

JURGEN Klopp mengakui AFC Bournemouth lebih layak menang ketika menewaskan Liverpool 0-1 dalam perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) di Stadium Vitality pada Sabtu.

Kekalahan itu turut menyaksikan The Reds terlepas peluang untuk menduduki kelompok empat teratas EPL.

Jaringan Philip Billing dalam separuh masa pertama sudah cukup untuk menumbangkan pasukan Merseyside itu dan memberikan The Cherries tiga mata penting untuk keluar daripada zon penyingkiran.

Mohamed Salah, yang masih segar dengan kejayaannya menjaringkan dua gol ketika membelasah Manchester United 7-0 hujung minggu lalu, turut gagal menyudahkan sepakan penalti dalam babak kedua.

Klopp berasakan jika Salah dapat menjaringkan peluang itu, perlawanan berkenaan mungkin akan berakhir dengan keputusan berbeza tetapi dia tetap mengakui bahawa Bournemouth yang hampir menewaskan pendahulu liga, Arsenal, hujung minggu lalu lebih layak untuk memperoleh kemenangan itu.

"Sudah lama kami tidak dapat sepakan penalti dalam saingan liga dan ia satu hipotesis yang jelas, jika dia menjaringkannya, perlawanan ini mungkin akan berubah," kata Klopp kepada BT Sport.

"Ia tidak akan menjadikan prestasi kami lebih baik tetapi ia sekurang-kurangnya dapat mengubah keputusan ini.

"Dia menjaringkan banyak gol tetapi dia terlepas jaringan penalti itu. Begitulah kehidupan.

"Amat jelas sejak saat pertama kami tiba di sini, Bournemouth sedang berusaha untuk kekal dalam liga, kelab yang hebat, bandar hebat, mereka mahu kekal dan melakukannya dengan amat baik.

"Keputusan tidak memihak kepada mereka sepanjang beberapa bulan ini tetapi prestasi nampak berbeza dan mereka layak untuk mendapatkan tiga mata hari ini, itu sahaja," katanya. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram