NEWCASTLE United dipercayai berminat untuk menandatangani penyerang Liverpool, Diogo Jota semasa jendela perpindahan musim panas tidak lama lagi.
Bintang Portugal itu merupakan antara pemain yang mengagumkan untuk The Reds dengan menjaringkan 34 gol dalam 99 penampilan secara keseluruhan namun musim ini merupakan tahun terburuknya.
Jota mengalami kecederaan ketika menentang Manchester City pada pertengahan kempen yang menyebabkan dia tidak menyertai Piala Dunia 2022.
Semenjak itu, Jota terpaksa bergelut untuk mendapatkan rentak sejak dia kembali beraksi baru-baru ini.
Malah, pemain berusia 26 tahun itu tidak pernah menjaringkan gol untuk Liverpool sejak seri 2-2 menentang City pada April lalu.
Menurut laman Football Transfers, Newcastle mengagumi kebolehan Jota dan sedang mempertimbangkan untuk membawanya masuk pada musim panas ini.
Selain itu, kepelbagaian yang ada pada pemain itu juga berhasil menarik minat pengendali Newcastle, Eddie Howe.
Liverpool bagaimanapun difahamkan enggan membiarkan penyerang itu pergi, tetapi tawaran dalam lingkungan £60 juta (RM326.3 juta) nampaknya boleh mempengaruhi keputusan The Reds.
Mungkin kini Jota masih tercari-cari sentuhan menjaringkan gol tetapi The Reds mesti mengekalkannya pada musim panas ini.
Penyerang itu adalah seseorang yang memainkan peranan penting dalam serangan Liverpool, sama ada mata untuk gol ataupun asakan dari depan.
Sememangnya, terdapat persaingan besar apabila Darwin Nunez dan Cody Gakpo mulai menyarung jersi The Reds tetapi penggiliran adalah kunci dan Jota harus dianggap sebagai masa depan The Reds.
Selain Newcastle, dikhabarkan tiga lagi pasukan teratas Liga Perdana Inggeris memburu khidmat Jota.
Ketika ini, 'top 3' EPL membabitkan Arsenal, City dan juga Man United.
Masih segar dengan kejayaan membelasah Man United 7-0 minggu lepas, anak-anak buah Jurgen Klopp bakal berkunjung ke Bournemouth pada Sabtu (pukul 8.30 malam waktu Malaysia). — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram