'LAPTOP Cabuk' menemui pembaca buat kali keenam. Berinspirasikan minda tua yang mungkin sudah berkarat, karya ini dan seterusnya akan cuba menyingkap cerita di sebalik tabir dan sesuatu yang mungkin terlepas daripada pengamatan ramai untuk sama-sama memeriah dan meraikan Liga Malaysia musim 2023.
PERSEFAHAMAN di antara mereka memang sudah lama terbentuk, malah dari zaman mereka bergelar pemain lagi.
Lantarannya juga, perihal ketua jurulatih Fandi Ahmad, pengurus Datuk Dollah Salleh serta dua penolong jurulatih, Datuk Ahmad Yusof dan Ahmad Shaharuddin Rosdi, duduk sebaris dengan pemain simpanan setiap kali Sri Pahang FC beraksi, dilihat sangat mententeramkan.
Sesekali serius dalam perbincangan dan ada kalanya disulami gelak-ketawa, empat kepala ini disatukan dalam mencaturkan cabaran skuad Tok Gajah, yang bagaimanapun baru meraih satu kemenangan ke atas Kelantan FC dalam Liga Super setakat ini.
Tidak sekadar itu, mereka sebenarnya terpaksa dua kali bangkit daripada ketinggalan ketika mengikat Negeri Sembilan (26 Februari) dan Sabah (12 Mac), kedua-duanya dengan keputusan 1-1.
Kemenangan 2-1 ke atas Perak FC dalam pusingan pertama Piala FA di Ipoh, 8 Mac lalu juga adalah daripada situasi ketinggalan sebelum kad merah kepada pemain tuan rumah, Fadhil Idris, pada minit ke-66 membuka laluan buat Sri Pahang meraih jaringan menerusi Abdul Malik Mat Ariff dan penalti Stefano Brundo.
Brundo selepas menghadiahkan jaringan kepada skuad Tok Gajah. — Facebook Sri Pahang
“Kami memang kenal rapat, pernah bermain dalam satu pasukan pada 1992 (ketika Pahang bergelar juara berganda liga dan Piala Malaysia),” cerita Dollah.
“Antara kami berempat, Fandi adalah bos. Kata putus di tangannya walaupun dia gemar bertanyakan pandangan kami.
“Kesebelasan permulaan adalah pilihan Fandi. Penggantian pemain, dia akan bincang dengan kami.
“Sebagai pengurus, saya lebih gemar duduk diam. Cuma sesekali apabila pasukan nampak sedang bergelut, saya akan beri cadangan pertukaran.
“Di antara kami, memang tak ada masalah langsung. Fandi sangat terbuka, bagi pendapat lagi dia suka," tambahnya merujuk kepada pertemuan dengan Selangor FC di Stadium MBPJ, 5 Mac lalu.
Dollah turut mendedahkan mereka bernasib baik tidak ditumpukan kamera televisyen kerana bergelak-ketawa ketika pasukan sedang ketinggalan kepada jaringan Christian Obiozor pada minit ke-34 pertemuan dengan Perak itu.
Dollah dan Fandi merupakan sahabat lama sejak menjadi pemain Pahang pada tahun 90-an.
“Fandi ‘menceceh-ceceh’ dan dia selalu macam tu, kami pun tergelak. Saya memang kuat tergelak bila mendengar itu. Fandi lepas tu cakap kalau kamera tunjuk, ‘mampus’ kami semua,” ceritanya lagi.
Ahmad, ketika mengeyakan perkara itu, berkata Fandi gemar merujuk kepada pengurus dan penolong jurulatih dalam membuat sesuatu keputusan bagi mendengar pandangan kedua.
“Sebagai penolong jurulatih, saya nak berlebih-lebih sangat pun tak boleh. Dia pun bukan calang-calang jurulatih selain banyak berpengalaman.
“Kami (Ahmad dan Shaharuddin) tak boleh nak diam sangat. Bila tengok kami diam, dia akan tanya pendapat kami.
“Kami hormat pendirian dia kerana hujung-hujungnya, dia yang akan bertanggungjawab di atas semua keputusan,” sambung Ahmad yang pernah tinggal serumah dengan Fandi pada awal 90-an.
Menurutnya lagi, Fandi turut membuat kedua-dua penolongnya berasa dihargai dalam menyiapkan pasukan menjelang sesuatu perlawanan.
Dalam latihan, dia akan membahagi-bahagikan tugas selain peranan utamanya sendiri mengatur strategi buat keseluruhan pasukan.
“Untuk barisan pertahanan, Fandi akan serah tugas menggilap mereka kepada saya. Dia sendiri fokus kepada barisan serangan. Kemudian dia akan gabungkan ketiga-tiga-pertahanan, tengah dan serangan-untuk latihan keseluruhan pasukan,” tambahnya.
Dollah, jurulatih skuad Pahang di antara 2009-2013, kemudian 2017-19 dan kembali menggalas tugas itu pada pertengahan musim 2021 selepas Thomas Dooley direhatkan, melihat Fandi selaku 'jurulatih kesukaan pemain'.
Fandi disifatkan sebagai 'jurulatih kesukaan pemain'.
“Fandi ini jenis ‘cool’, tak ada nak marah-marah pemain, dia tegur pun baik-baik.
“Waktu rehat separuh masa, tak adalah dengar dia terjerit-jerit (di dalam bilik persalinan). Pemain-pemain pun gembira dengan pengurusan pasukan, cara Fandi ini disukai mereka,” katanya.
Ditanya jika pemain-pemain menunjukkannya di atas padang, Dollah merumuskannya begini: “Skuad Sri Pahang musim ini bukanlah mantap sangat.
“Tapi lihat Kpah (Sherman). Dia bermain beria-ia. Pemain-pemain asing semuanya dengar kata, taat kepada arahan ‘coach’. Mereka semua seolah-olah berhabis-habisan untuk Fandi,” katanya lagi.
Kpah antara penjaring harapan buat Sri Pahang musim ini.
Apa pula kata Fandi sendiri?
“Saya bertuah kerana bekerja dengan sahabat-sahabat dan saya gembira bekerjasama dengan mereka.
“Anda boleh kata saya jurulatih kesukaan pemain. Itu memang cara saya, termasuk ketika membimbing LionsXII dulu. Tapi ia tidak bermakna saya tidak tegas apabila ia diperlukan,” katanya.
Jurulatih itu mengakui dia tidak menghabiskan banyak masa tercegat di dalam kotak teknikal di tepi padang, sebaliknya hanya ke sana apabila keadaan menuntutnya.
“Saya bukan jurulatih yang terjerit-jerit dari tepi padang kerana itu menambah tekanan ke atas pemain. Saya ada acara sendiri berkomunikasi dengan pemain saya.
“Ia bukan bermaksud saya kurang komited kerana anda pun tahu saya memberikan segala-galanya untuk pasukan," ujarnya.
Atau Fandi sentiasa berasa lebih yakin apabila Dollah, Ahmad dan Shaharuddin duduk di sisinya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram