'Saya sudah...awak?', pemain Liga M3 cabar Syafiq Ahmad


  • Podium
  • Selasa, 14 Mac 2023

Faiz Hanif (kanan) meniru gaya Syafiq meraikan gol. — Facebook

PENYERANG Johor Darul Takzim (JDT), Syafiq Ahmad belum betul-betul berpeluang mengasah 'taringnya' walaupun saingan Liga Super musim ini sudah memasuki minggu kelima.

Pemain kelahiran Pulau Pinang yang diasah bakat bola sepaknya ketika di Sekolah Sukan Negeri (SSN) Kedah, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tunku Anum Tunku Abdul Rahman itu dilihat masih sukar menembusi kesebelasan utama JDT.

Setakat ini, Syafiq hanya mengumpul 10 minit masa perlawanan ketika aksi bertemu KL City FC pada 1 Mac lalu, manakala dalam tiga perlawanan lain menentang Terengganu FC, Negeri Sembilan FC dan Kelantan FC, Syafiq sekadar memanaskan bangku simpanan.

Walaupun belum berpeluang mencetak nama sebagai penjaring di persada Liga Super, Syafiq tetap menjadi idola pemain kelab lain.

WhatsApp Image 2023-03-14 at 20.19.28

Tangkap layar hantaran IG Faiz Hanif yang dimuat naik semula Syafiq. — Instagram

Ia dapat dilihat apabila ada pemain-pemain muda yang meniru cara Syafiq meraikan gol apabila mereka berpeluang mencipta jaringan di saingan kelab masing-masing.

Salah seorang pemain itu ialah Faiz Hanif Adnan yang bermain untuk BRM FC Kuala Kangsar di saingan Liga M3 2023.

Pemain itu menjadi penjaring tunggal ketika BRM FC memperoleh kemenangan 1-0 ke atas Manjung City FC.

Dia memuat naik momennya meraikan gol tersebut di Instagram Story dengan kapsyen berbunyi, "2023, Saya sudah...awak? @syafiq_ahmad20."

336154366_1417227412148027_5997143634383935864_n

Alif Zikri meraikan gol ketika Perak FC II mengalahkan Selangor FC. — Facebook

Faiz Hanif seolah-olah melaungkan cabaran kepada Syafiq yang meledak empat gol musim lalu sepanjang 18 penampilannya di Liga Super, untuk segera membuka akaun jaringan musim ini.

Syafiq kemudian memuat naik semula hantaran itu di Instagramnya dengan ucapan, "Tahniah anak muda."

Selain Faiz Hanif, seorang pemain Perak, Alif Zikri turut meraikan gol seperti gaya Syafiq apabila dia menjadi penjaring tunggal Perak FC II ketika aksi bertemu Selangor FC bagi saingan Piala MFL.

Jika di Liga Perdana Inggeris, bintang Manchester City, Erling Haaland meraikan gol dengan cara sedemikian yang dipercayai menjadi ikutan sebahagian pemain bola sepak tempatan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram