Hadi Fayyadh perlu belajar lebih bersabar


  • Podium
  • Selasa, 14 Mac 2023

Kadar kerja Hadi Fayyadh di Perak FC sangat tinggi dan dipuji Teong Kim. — Facebook/ Perak FC

'LAPTOP Cabuk' menemui pembaca buat kali kelima. Berinspirasikan minda tua yang mungkin sudah berkarat, karya ini dan seterusnya akan cuba menyingkap cerita di sebalik tabir dan sesuatu yang mungkin terlepas daripada pengamatan ramai untuk sama-sama memeriah dan meraikan Liga Malaysia musim 2023.

SATU video perlawanan persahabatan pramusim di antara Perak FC dan Penang FC terbitan Asian Football tertumpu kepada semua sentuhan Hadi Fayyadh Abdul Razak bersama bola dan sorotan membabitkannya sepanjang aksi 90 minit itu.

Video berdurasi 2 minit 39 saat berkenaan merakamkan kerajinan penyerang Perak FC berjersi nombor 7 itu mencipta peluang mahupun lariannya membuka ruang buat rakan sepasukan di kawasan penalti lawan.

Apa yang keciciran ialah sentuhan jaringan daripadanya dalam perlawanan yang berkesudahan dengan kemenangan 1-0 kepada pasukan pelawat di Stadium Perak itu.

Kemudian, dalam satu lagi video terbitan Malaysia Football League (MFL) bertajuk 5 Minit Bersama... Hadi Fayyadh, pemain itu memberitahu penemu bual, Mia Ibrahim, mengenai harapannya bersama Perak FC musim ini.

327170932_2557033647769324_318331893945666537_n

Hadi Fayyadh mungkin tanpa disedari meletakkan tekanan ke atas dirinya. — Facebook/ Perak FC

“Harapan saya sebenarnya saya nak menang setiap perlawanan dan jaringkan gol dalam setiap perlawanan. Saya harap dan percaya juga memang kita boleh lakukan,” ujarnya.

Namun, demi berlaku adil kepadanya, Hadi Fayyadh sebelum itu mengungkapkan: “Saya harap tahun ini akan menjadi tahun yang terbaik untuk saya membuktikan sesuatu.

“Tapi ia akan mengambil masa. Saya akan ambil sedikit masa untuk sesuaikan diri dengan persekitaran. Saya yakin dan percaya dengan bimbingan jurulatih Teong Kim dan semua pemain yang ada sekarang ini, saya boleh satukan dan jadi lebih baik untuk tahun ini,” katanya.

Sama ada disedarinya atau tidak, pemain berusia 23 tahun itu telah mengenakan tekanan ke atas dirinya sejak awal-awal lagi ketika skuad The Bos Gaurus menampilkan majoriti muka-muka baharu musim ini.

Selepas beraksi dalam empat perlawanan, jaringan yang dinanti-nantikan penyokong daripadanya masih belum kunjung tiba.

“Hadi terlalu taksub mahu menjaringkan gol. Sebagai seorang penyerang, saya faham apa yang diinginkannya dan tidak sekali-kali menyalahkannya,” kata jurulatih Perak FC, Datuk Lim Teong Kim.

335141585_1851414961881218_4664603986201272651_n

Hadi dirasakan terlalu taksub mahu menjaringkan gol. — Facebook/ Perak FC

Apatah lagi, dua rakan penyerang yang sebelumnya kebuntuan gol sepertinya, Christian Obiozor dan Seo Seonung, masing-masing sudah membuka akaun jaringan.

Tidak hairanlah dalam perlawanan menentang Kuching City FC di Stadium Perak, Ahad lalu, Hadi Fayyadh dilihat berkejaran ke segenap ruang padang dalam ikhtiarnya untuk menggoncang jaring.

Reputasinya selaku bekas penyerang skuad Harimau Muda di samping baru pulang daripada beraksi di Liga Jepun (J-League) selama tiga musim sejak 2019, harus terus bermain-main di fikirannya.

"Proses untuk memujuknya (Hadi) untuk menyertai Perak mengambil masa yang lama sebelum dia bersetuju pulang ke tanah air daripada kelab Jepun (Azul Claro Numazu),” kata Ketua Pegawai Eksekutif Perak FC, Bobie Farid Shamsudin, ketika sidang media pelancaran jersi baharu pasukan, 13 Januari lalu.

335406905_924429585263132_4240912488197727349_n

Obiozor (kanan) dan Seo Seonung (dua kanan) sudah membuka akaun jaringan masing-masing manakala Hadi Fayyadh terus kempunan memburu gol. — Facebook/ Perak FC

Teong Kim, bagaimanapun, lebih daripada bersedia untuk menawarkan rangsangan terbaik buat ayam tambatannya itu.

“Dia terlalu mengerah dirinya untuk dapatkan gol. Itu baik tapi ia juga meletakkan dirinya dalam tekanan yang terlalu tinggi.

“Saya memberitahunya supaya bersikap lebih tenang dan lambat-laun gol akan datang juga selagi dia berusaha,” katanya.

Teong Kim menambah: “Saya memberi penyerang saya peranan bebas, cuma Christian (Obiozor) tidak boleh turun melebihi garisan tengah padang kerana saya perlukannya menunggu di atas untuk serangan balas.

“Hadi pula, saya hargai usaha dia turun membantu ketika bertahan. Kadar kerjanya sangat tinggi dan hanya masa akan menentukan bila dia akan mendapat gol pertamanya.

“Asalkan Hadi terus menyumbang kepada pasukan, saya akan sentiasa gembira dengannya, sama ada dia jaringkan gol atau tidak.” — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram