PERLAWANAN minggu kelima Liga Super 2023 akan menyaksikan pasukan Perak FC bertemu Sri Pahang FC dalam perhitungan memburu mata kemenangan.
Skuad The Bos Gaurus yang meraih kemenangan sulung selepas menewaskan Kuching City FC tempoh hari, pastinya akan terus bernafsu untuk mencipta jaringan bagi memastikan pasukan Seladang terus berada di kelompok enam terbaik.
Dalam pertemuan akan datang itu, skuad Perak FC mungkin akan menurunkan pemain-pemain terbaik untuk menghadapi Sri Pahang FC yang bukanlah calang-calang lawan dalam liga.
Kemungkinan pada pertemuan itu, penyokong akhirnya akan dapat menyaksikan persembahan bekas pemain kebangsaan, Wan Zack Haikal Wan Noor yang kini sedang giat menjalani latihan bersama skuad senior Sang Seladang.
Ia dikuatkan lagi dengan bayangan yang diberikan oleh pemain 'otai', Irfan Fazail yang kini berkhidmat dengan pasukan Sabah FC apabila memberikan gambaran pemain itu mungkin akan diturunkan tidak lama lagi.
Irfan pada Isnin memuat naik foto di laman Instagram menunjukkan dia bergambar kenangan dengan rakan-rakan seperjuangan yang kini beraksi dengan kelab lain.
Kemunculan Wan Zack di atas padang antara harapan penyokong terhadap Perak menentang Sabah FC. — Facebook
Di dalam foto itu, kelihatan ada rakan sepasukannya di Sabah FC, Amri Yahyah selain Fadhli Shas, Izham Tarmizi dan Mohd Azrif Nasrulhaq yang berkhidmat di Sri Pahang FC musim ini.
"Sometimes one person changes everything (Kadang kala ada seseorang yang mengubah segala-galanya) #rakansebaya," tulisnya di ruangan kapsyen.
Wan Zack juga meninggalkan komen di foto itu yang kemudian mendapat reaksi Irfan dengan komen balas berbunyi, "See you soon brother (Jumpa anda tidak lama lagi)."
Ada penyokong yang berasakan kedua-dua pemain itu seolah-olah memberi bayangan bakal beradu tenaga dalam aksi Sabah FC menentang Perak FC, 23 Mei depan.
Komen antara Irfan dan Wan Zack. — Instagram
Namun ada juga yang berasakan pertemuan itu akan menjadi medan reunion bagi kedua-dua pemain senior berkenaan yang mungkin sudah lama tidak bersua muka dan bertanya khabar.
Foto itu menggamit memori ramai kerana pemain-pemain itu semua pernah menjadi rakan sepasukan ketika sama-sama menyarungkan jersi Johor Darul Takzim (JDT).
Untuk rekod, Irfan dipinjamkan skuad Harimau Selatan untuk bermain dengan Sabah FC.
Izham dan Azrif juga dipinjamkan majikan mereka, JDT ke Sri Pahang bagi musim ini.
Hanya Fadhli direkrut dengan kontrak dua tahun bersama skuad Tok Gajah selepas lapan musim bersama JDT. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram