KEMENANGAN Kedah FC ke atas Kelantan United dalam perlawanan keempat Liga Super pada Isnin menyaksikan anak-anak buah Nafuzi Zain berjaya memperoleh tiga mata penuh di Stadium Sultan Muhammad ke-IV, Kota Bharu, Kelantan.
Lebih memukau perhatian penyokong, semestinya sepakan penalti yang berjaya disempurnakan penyerang import Kedah, Manuel Hidalgo selepas dia dikasari oleh benteng pertahanan lawan pada penghujung separuh masa pertama.
Gembira dengan jaringan tersebut, aksi Hidalgo ketika meraikan jaringannya turut mencuri tumpuan warganet dengan mempamerkan gaya seakan sedang bercakap dengan butnya di hadapan penyokong.
Mengundang pelbagai reaksi dalam kalangan peminat, gaya yang dipamerkan nyata sedikit unik dan sekali gus menjadi imej kepada pemain itu sendiri.
Namun, menerusi hantaran instastory dimuat naik pemain itu di laman Instagram, telah membongkar rahsia di sebalik gaya tersebut dengan ia merupakan perkara yang dijanjikan kepada pihak penaja butnya, Flair Football Concept.
Hidalgo menggunakan sepasang but hasil tajaan gedung pakaian sukan Flair Football Concept dari Argentina. — Instagram/ManuelHidalgo
Menerusi hantaran tersebut, seorang individu dipercayai salah seorang wakil pihak penaja berkenaan telah meminta Hidalgo untuk menunjukkan but ke arah kamera sekiranya berjaya menjaringkan gol.
Menyahut cabaran itu, pemain kelahiran Argentina tersebut membalas "I do celebration okay" dalam tangkap layar WhatsApp yang dikirim.
Tangkap layar kiriman Whatsaap yang dikongsikan di laman Instagram peribadi Hidalgo.
Ia sekali gus mendedahkan tujuan di sebalik sambutan jaringan yang dilakukan dengan Hidalgo hanya menepati janjinya pada pihak penaja berkenaan.
Kedah yang kini berada di tangga keempat carta liga masih berpeluang untuk mendaki ke kedudukan tiga teratas selepas hanya dipisahkan satu mata dengan pasukan Selangor FC dan Sabah FC yang berkongsi 10 mata sementara Johor Darul Takzim masih gah di persada Liga Super dengan 12 mata maksimum selepas empat perlawanan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram