SEORANG individu lelaki dipercayai penyokong pasukan Johor Darul Takzim (JDT) meluahkan kemarahannya apabila mendakwa kualiti jersi kelab bola itu tidak setanding dengan harganya.
Ia susulan pelekat logo pasukan itu yang dikatakan terlampau mudah rosak dan tercabut selepas dibasuh.
Lebih menyedihkan, pemilik turut mendakwa jersi berharga RM299 itu masih rosak meskipun dicuci dengan tangan dan ia sekali gus menimbulkan pelbagai spekulasi warganet di laman TikTok.
Seorang pemuda dikenali sebagai Nopal Hitam turut berkongsi pengalaman sama apabila jersi yang dibeli pada edisi lepas turut mengalami kerosakan selepas dibasuh.
"Perkara biasa, saya musim lepas satu keluarga beli jersi ori sama je habis tertanggal logo dia lepas basuh," ujarnya.
"Aku punya tak basuh langsung tapi logo jadi pudar lagi pelik, tahun ni punya jersi tak nak beli sebab seram bab logo ni," kata Apis.
"Memang kualiti teruk musim ni, baik beli yang tiruan kalau kualiti teruk tak setanding harga beratus," tambah Naqeb Rudi.
Sementara itu, pengenalan jersi pasukan JDT pada awal musim ini menerima reaksi kurang baik daripada peminat yang mempersoalkan reka bentuk dan warna yang dikatakan tidak begitu menarik jika dibandingkan dengan pasukan-pasukan lain.
Menjawab perkara itu, pemilik JDT, Tunku Mahkota Johor (TMJ) Tunku Ismail Sultan Ibrahim sekali lagi menegaskan penjualan jersi baharu bukanlah keutamaan pasukan.
"Itu tidak penting bagi saya kerana kami adalah kelab bola sepak. Kami di sini bukan untuk menjual baju, kami di sini adalah untuk kejayaan setiap aspek.
"Ia bermakna berjaya untuk mendapatkan infrastruktur sukan tercanggih dan berteknologi serta kejayaan dalam padang, itu bagi saya penilaian sama ada kelab itu berjaya atau tidak," katanya.
JDT pada musim ini mengenakan baju berwarna biru dan bercorak seakan-akan celoreng merah bagi jersi di tempat sendiri manakala berwarna serba putih sekiranya beraksi di gelanggang lawan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram