SKUAD Gergasi Merah dijangka akan diberi tentangan sengit oleh pasukan Penang FC menjelang pertemuan keempat dalam saingan Liga Super 2023 pada Ahad.
Bakal berkunjung ke Stadium Bandaraya Pulau Pinang, Selangor FC semestinya enggan pulang dengan tangan kosong selain tiga mata penuh menjadi keutamaan dalam perlawanan itu nanti.
Selangor yang kini berada di kedudukan ketiga liga, dilihat masih berpeluang untuk mendaki ke puncak teratas dengan hanya dipisahkan dua mata dengan pasukan Sabah FC dan Johor Darul Takzim (JDT).
Masih belum tewas dalam mana-mana perlawanan setakat ini, penyokong optimis anak-anak buah Tan Cheng Hoe itu mampu mengekalkan rekod bersih dalam perlawanan seterusnya menentang Penang.
Selangor FC bakal berkunjung ke Stadium Bandaraya Pulau Pinang pada Ahad bertemu Penang FC. — Facebook/SelangorFC
Namun, prestasi memberansangkan yang dipamerkan skuad Harimau Kumbang ketika menewaskan Kedah FC dalam perlawanan Piala FA baru-baru ini perlu diambil kira oleh Cheng Hoe dengan ia dilihat sebagai ancaman terbesar buat anak-anak buahnya.
Masih segar dengan kemenangan di Stadium Darul Aman, Kedah, ia pastinya menjadi tonik terbaik bagi Penang untuk meneruskan rentak cemerlang dalam saingan seterusnya di Liga Super.
Beberapa faktor perlu diberi perhatian oleh bekas pengendali skuad kebangsaan itu selain penyokong Penang ketika ini dilihat sudah mula melaungkan amaran dan sorakan gemuruh yang bakal diberikan dalam perlawanan itu kelak.
"Suara perut komrad UltraSel Curva bakal bergema di Stadium Bandaraya esok, lapan ke 10 bas akan sampai esok di stadium," kata Muhammad Aidil yang merupakan penyokong setia pasukan itu.
Sementara itu, Penang juga bakal memiliki tiga kelebihan menjelang pertemuan dengan Selangor pada Ahad nanti.
Kelebihan satu perlawanan
Kesefahaman pemain pasukan Penang dikatakan semakin bertambah baik dengan kelebihan satu perlawanan diperoleh berbanding skuad Selangor yang baru sahaja memiliki tiga rekod perlawanan setakat ini.
Tiga tonggak serangan yang disenaraikan dalam kesebelasan utama dalam aksi Piala FA baru-baru ini dijangka akan dikekalkan untuk perlawanan seterusnya nanti selepas gandingan trio itu berjaya membuahkan kemenangan.
Giovane Gomes dan Soony Saad berjaya menjaringkan gol dalam perlawanan tersebut selain persembahan bermutu tinggi turut dipamerkan penyerang sayap kanan, Rahmat Makasuf yang kerap kali membuat hantaran silang merbahaya ke arah kotak penalti pasukan lawan.
Keinginan dan persefahaman tinggi dalam kalangan pemain pastinya semakin utuh dan teguh dengan aksi menentang Selangor nanti, trio itu dikatakan antara ancaman terbesar buat benteng pertahan Gergasi Merah.
Beraksi di hadapan penyokong sendiri
Bakal beraksi di hadapan penyokong sendiri, kelab penyokong setia Harimau Kumbang dikenali sebagai UltraSel Curva semakin hangat membuat persiapan untuk ke stadium Ahad ini.
Penang yang sebelum ini beraksi di stadium pasukan lawan, menunjukkan keazaman tinggi apabila berjaya mengheret perlawanan sehingga ke penetuan sepakan penalti sebelum menang dengan agregat 4-3 dalam saingan kalah mati tersebut.
Ditambah pula dengan sorakan daripada penyokong sendiri, ia semestinya bakal melonjakkan semangat pemain yang masih ghairah dalam memburu kemenangan.
Tewaskan Kedah
Meskipun keputusan tiga perlawanan terdahulu dalam liga super tidak menyebelahi Penang, dua kekalahan dan satu keputusan seri yang diperoleh bakal menjadi pembakar semangat buat pemain terus mencari kemenangan sulung pada musim ini.
Kebangkitan pasukan Utara tanah air itu mula terlihat selepas kejayaan diperoleh dalam pusingan pertama Piala FA baru-baru ini.
Berjaya melayakkan diri ke pusingan seterusnya, kemenangan ke atas Kedah bukanlah satu perkara yang boleh dipandang ringan oleh pasukan lawan.
Kedah yang dikendalikan jurulatih berpengalaman, Nafuzi Zain sememangnya digeruni ramai dengan beberapa pemain ternama yang dimiliki turut menjadi sandaran utama kelab itu pada musim 2023.
Sesetengah pihak mungkin berpendapat bahawa nasib dan kealpaan benteng pertahanan pasukan Kedah menjadi faktor kemenagan Harimau Kumbang namun, dakwaan itu bakal ditentukan menjelang pertemuan dengan Selangor nanti.
Enggan mendabik dada mahupun dibuai dengan kejayaan terdahulu, Penang dijangka bakal memberikan tentangan sengit buat Gergasi Merah dengan tiga mata sulung diimpikan oleh seluruh pasukan dan penyokong. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram