Kurang beraksi, Aidil Zafuan bagaikan ‘model partime' jadi duta jual baju JDT


  • Podium
  • Khamis, 09 Mac 2023

Aidil Zafuan Abdul Razak merupakan antara tonggak pertahanan berpengalaman yang masih kekal beraksi di JDT. — Facebook/JDT

KELIBAT pemain pasukan Johor Darul Takzim (JDT), Aidil Zafuan Abdul Razak di atas padang semakin samar sejak beberapa musim ini dengan pemain itu lebih banyak memanaskan kerusi bangku simpanan pemain.

Pemain berusia 36 tahun itu dikatakan semakin menuju pintu keluar daripada JDT dalam jendela perpindahan akan datang apabila prestasi dan sumbangannya semakin terhad dalam perlawanan.

Mula menyertai pasukan Harimau Selatan pada 2013, Aidil muncul satu-satunya pemain yang masih kekal bersama kelab itu selepas beberapa lagi bekas rakan sepasukannya seperti Norshahrul Idlan Talaha, Amri Yahya dan Khairul Fahmi Che Mat sudah mula berhijrah ke pasukan lain.

Meskipun masih bertahan di JDT sehingga musim ini, namun prestasi cemerlang yang pernah ditampilkan pertahanan berpengalaman itu satu ketika dahulu dilihat semakin merudum dengan posisinya kini semakin didominasi pemain baharu yang lebih muda dan berdaya saing.

Namun, namanya mula hangat diperkatakan di laman media selepas JDT baru-baru ini memuat naik beberapa gambar koleksi baju yang dijual di laman sesawang rasmi pasukan tersebut.

Selain Bergson da Silva, wajah Aidil turut terpampang dalam hantaran berkenaan dengan khidmatnya sebagai model pasukan itu kerap digunakan sebagai tarikan orang ramai untuk membeli barangan yang dijual.

DUA

Aidil Zafuan dilantik sebagai model bagi memperagakan jualan baju pasukan JDT. — Facebook/JDT

Tidak dinafikan, Aidil sememangnya memiliki rupa paras dan bentuk badan persis model yang menawan namun, kehadirannya di JDT pada musim ini mula dipertikaikan dengan pemain itu mula dilabel sebagai ‘partime footballer’ pasukan Harimau Selatan.

Seorang pengikut JDT yang dikenali sebagai Muhd Naim berpendapat, pemain itu selayaknya dijadikan model tetap di pasukan tersebut berbanding bergelar seorang pemain bola sepak.

“Ni dah tak payah main bola dah, kotor nanti dekat padang, lebih baik jadi model JDT, paling tidak mesti jadi idola artis sekarang,” katanya.

“Aidil dah boleh main posisi model selepas ini, banyakkan lagi barangan cenderahati, baju, cawan, mafla dan suruh dia pegang dulang atau mangkuk janji ada cop JDT,” ujar Aziz Hamid.

Fulltime modelling, partime footballer, lebih baik tak payah jadi pemain kalau macam ini gayanya,” tambah Jasni Ahmad.

Dihujani kritikan peminat berhubung perkara itu, ia bukan la satu perkara baharu yang dihadapi pemain tersebut dengan sebelum ini namanya juga turut dikaitkan dengan beberapa panggilan seperti ‘kuda tua’, pemain simpanan tetap JDT dan pelbagai lagi dakwaan negatif daripada penyokong.

Namun ia langsung tidak mematahkan semangat pemain kelahiran Seremban, Negeri Sembilan itu apabila khidmatnya masih diperlukan di JDT dengan kontraknya disambung bagi musim 2023.

Untuk rekod, Aidil Zafuan muncul pemain paling berjaya dalam saingan Liga Super dengan 10 gelaran juara termasuk bersama Negeri Sembilan pada musim 2005/2006 sebelum meniti kegemilangan dari 2014 hingga 2022 di JDT.

Usia tua bukan penghalang buat dirinya terus beraksi di Johor dan sokongan moral penyokong amat ditagih bagi memberikan suntikan positif buat pemain itu terus mewakili JDT di saingan domestik mahupun pentas antarabangsa. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram