PASUKAN Johor Darul Takzim (JDT) sememangnya dikenali sebagai sebuah kelab berstatus elit yang memiliki ramai pemain bertaraf bintang dan ternama bukan sahaja dalam negara, malah dari luar negara.
Dibarisi sembilan pemain import dan sembilan tonggak naturalisasi, ia sekali gus membantu skuad Harimau Selatan menjadi antara pasukan terbaik di Malaysia dengan kejuaraan Liga Super sebanyak sembilan kali berturut-turut berjaya diperoleh sejak 2014.
Namun begitu, di sebalik kejayaan yang dikecapi, timbul pula dakwaan mengatakan JDT seolah-olah terlalu bergantung kepada barisan pemain import untuk merebut kejuaraan.
Ia boleh dilihat menerusi kesebelasan utama yang diturunkan dalam perlawanan ketiga Liga Super menentang Negeri Sembilan FC sebelum ini yang menyaksikan hanya dua pemain tempatan yang diturunkan sebagai kesebelasan utama dalam perlawanan tersebut.
Meskipun berjaya mencatatkan kemenangan besar dengan keputusan 7-0, anak-anak buah Estaban Solari seolah-olah tersepit dalam situasi 'suka dalam duka' apabila segelintir penyokong mula mempersoalkan taktikal jurulatih itu yang terlalu meletakkan kepercayaan terhadap pemain naturalisasi dan import.
Namun, dakwaan itu kembali ditepis oleh peminat Harimau Selatan yang menganggap ia sebagai satu perkara yang perlu diterapkan dalam mana-mana pasukan di Liga Malaysia (liga M).
Tidak melihat ia sebagai satu ancaman kepada pemain tempatan, Emi Hardy berpendapat bahawa, kehadiran import memberikan saingan sihat kepada pemain negara dengan pengalaman serta gaya permainan yang diterapkan, mampu dipelajari oleh keseluruhan pasukan.
"Kalau pemain import tak padu, macam mana skuad kebangsaan nak timba pengalaman dengan pemain setaraf Eropah, jadi jangan tanya kenapa skuad JDT ramai import," katanya.
"Bila ada pencabar, pemain tempatan akan terus berusaha untuk bangkit dan sedar kebolehan diri berada di tahap mana, baru boleh terus maju ke hadapan," ujar Mohd Aliff.
"Tak kisah la JDT ramai import atau tidak, yang pastinya kita boleh nampak beberapa pemain seperti Corbin Ong misalnya, langsung tidak tergugat dengan import baharu tetapi makin bagus gaya permainannya," jelas Asyraf Ghazali.
Persembahan cemerlang Corbin Ong semakin mendapat perhatian penyokong pada musim ini. — Facebook/JDT
Tonggak pertahanan kiri berdarah kacukan Malaysia-Canada itu merupakan antara pemain naturalisasi terawal yang diserap masuk ke JDT dan sehingga kini, aksinya kian memukau dengan dua jaringan berjaya dihasilkan setakat ini bagi musim 2023, sekali gus membuktikan mengapa namanya kekal relevan di Malaysia.
Posisinya di bahagian kiri pasukan kini dilihat sedikit terancam dengan kehadiran Oscar Aribbas yang berperanan sebagai pemain sayap kiri yang juga sesuai untuk diletakkan di kedudukan Corbin.
Namun, ia langsung tidak mendatangkan kerugian buat pemain kebangsaan itu apabila prestasinya pada musim ini semakin meningkat dan tiada siapa pernah menyangka bahawa pemain pertahanan berkenaan turut berkebolehan untuk menjaringkan gol.
Malah, beberapa komen warganet di Facebook turut menjelaskan ia merupakan situasi dan impak positif terhadap skuad Harimau Malaya dengan rata-rata pemain JDT merupakan antara tonggak utama dalam pasukan negara ketika ini.
"Sekurang-kurangnya pemain yang mewakili negara pun akan dapat pulangan positif daripada isu import JDT, permainan makin bagus dan bersaing secara sihat," jelas Umar Mokhtar.
"Pengalaman berlatih bersama pemain ternama seperti Bergson da Silva, Leandro Velazquez dan Fernando Forestieri sememangnya berharga, jadi impaknya pemain negara semakin bagus dan gaya permainan juga berubah ikut rentak negara luar," tambah Hamidi Zaifar.
Justeru, isu lambakan import di pasukan JDT sebaiknya tidak diperbesarkan sebaliknya, ia perlu dipandang daripada sudut positif yang mencabar pemain tempatan memberikan yang lebih baik dalam padang.
Harimau Selatan yang masih lagi segar dengan kejayaan di Stadium Paroi, Negeri Sembilan, akan menanti kunjungan Kelantan FC di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, Johor pada Sabtu. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram