Pemandu 4WD lagak gengster, ajak gaduh tengah-tengah lebuh raya menghala Port Dickson


  • Tular
  • Sabtu, 11 Mac 2023

Tangkap layar seorang pemandu kereta jenis pacuan empat roda bertindak ganas di sebuah lebuh raya menghala ke Port Dickson, Negeri Sembilan pada Sabtu.

ISU samseng jalanan kerap berlaku kebelakangan ini dengan perkara itu semakin mengundang ketakutan dalam kalangan pemandu di Malaysia.

Terbaharu, seorang pemandu kereta jenis pacuan empat roda menimbulkan kekecohan apabila mempamerkan lagak samseng di lebuh raya menghala ke Port Dickson, Negeri Sembilan pada Sabtu.

Pemandu tersebut yang memandu laju di laluan berkenaan terlebih dahulu dilihat saling kejar mengejar dengan si perakam video sebelum kedua-duanya berhenti di tengah jalan.

Turut kedengaran, individu berkenaan dipercayai beberapa kali melemparkan kata kesat ketika memandu dan sebuah lagi kenderaan mewah berwarna hitam juga ditahan dalam kejadian itu.

Pemuda berbaju biru itu kemudiannya mengeluarkan telefon pintar miliknya dan bertindak merakam kedua-dua kenderaan terbabit sebelum beredar dari lokasi berkenaan.

Punca sebenar insiden itu masih belum diketahui dan beberapa pihak turut mendakwa ia berlaku akibat salah faham selain kegiatan samseng jalanan yang kerap berlaku.

"Bawa 4x4 perangai dah macam samseng, dah buat hal rakam lepas tu lari, memang selalu macam ni la kes samseng jalanan berlaku," kata Bang Olufsen.

"Harap pihak berkuasa tahan dan rampas lesen dia, perkara macam ini tak boleh buat main mana boleh sesuka hati tahan tengah jalan buat macam itu," ujar Kazman Husin.

"Tapi tak boleh nak salahkan dia, mungkin yang tukang rakam ni sengaja cetuskan masalah sebar video kejadian, apa-apa pun harap ada pihak yang akan ambil siasatan," jelas Danial Danny.

Belum ada kenyataan polis berhubung insiden itu setakat ini, jadi orang ramai dinasihati untuk tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan insiden tersebut dan mereka yang mempunyai maklumat lanjut diminta hadir ke balai polis berhampiran untuk membantu siasatan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram