Diramal getir jumpa JDT, 3 tonggak Kelantan kena 'penyakit' macam Herold Goulon


  • Podium
  • Jumaat, 10 Mac 2023

Kelantan kini menduduki tempat ketujuh dalam saingan Liga Super 2023. — Facebook/TRW

KELANTAN FC yang hanya mencatatkan satu kemenangan setakat ini pasti memerlukan tiga mata berharga dalam perlawanan menentang Johor Darul Takzim (JDT) pada aksi Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, Sabtu ini.

Selain berharap untuk menang ke atas JDT, penyokong skuad The Red Warriors (TRW) juga tidak menolak sekiranya Kelantan FC sekurang-kurangnya meraih seri dalam aksi menentang juara bertahan Liga Super itu.

Mana tidaknya, keputusan seri juga dianggap kemenangan berikutan pasukan Kelantan bakal beraksi sebagai pasukan pelawat yang mana pastinya menjadi antara bebanan perlu ditanggung oleh skuad di bawah bimbingan Choi Moon-sik itu.

Menjelang perlawanan getir menentang skuad Harimau Selatan itu, khidmat barisan pemain utama pasti ditagih bagi membantu skuad TRW mencipta kemenangan dan mematahkan percubaan lawan untuk menghasilkan gol.

Namun begitu, dikhabarkan seramai tiga pemain Kelantan FC tidak dapat diturunkan dalam perlawanan keempat Liga Super itu dan perkara berkenaan mulai merisaukan penyokong yang inginkan khidmat mereka digunakan di bumi Iskandar Puteri nanti.

nuha

Nuha dikatakan tidak akan turun beraksi menentang JDT pada Sabtu ini. — Facebook/TRW

Tiga pemain yang dimaksudkan ialah penyerang import, Nuha Marong; arkitek tengah, Mario Arques dan tonggak pertahanan, Carli de Murga.

Khabar angin mengatakan ketiga-tiga pemain itu tidak akan turun menentang JDT pada Sabtu ini mulai timbul selepas ada penyokong mendakwa tidak melihat kelibat mereka di sesi latihan.

Malah, tidak kurang ada juga penyokong mendakwa situasi kehilangan tiga permata skuad TRW ini adalah sama seperti keadaan sewaktu pasukan Negeri Sembilan FC (NSFC) terpaksa melupakan khidmat Herold Goulon pada aksi menentang JDT.

"Betulkah De Murga dan Arques tey cacing (sakit perut). Tidak main perlawanan esok ke?," komen penyokong TRW, Zaed Sidek.

"Nuha ohhh Nuha. Anda di mana? Ada siapa-siapa nampak dia berlatih di stadium mini JDT kelmarin," komen seorang lagi penyokong Kelantan, Rosman Ahmad Farouq.

Sebelum ini, peminat pasukan Jang Hobin hairan apabila pemain import mereka, Herold Goulon selalu tidak dapat diturunkan ketika perlawanan penting menentang Harimau Selatan.

Namun begitu, pengendali NSFC, K.Devan menjelaskan bahawa Goulon berdepan dengan isu kecergasan sekaligus tidak dapat diturunkan pada aksi menentang JDT pada Isnin lalu.

Sekiranya ketiga-tiga pemain berkenaan tidak dapat diturunkan pada aksi menentang Harimau Selatan, pasti pihak kejurulatihan mempunyai alasan munasabah dan kukuh.

Setakat tiga perlawanan Liga Super yang dihadapi, Kelantan berjaya mencatat satu kemenangan ketika berdepan Penang dan mengalami dua kekalahan ketika menghadapi Kuching City dan Sri Pahang. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram