‘Sangka baiklah.. Dia benar-benar sakit’, Boszam pertahan ‘misteri’ kehilangan De Murga menjelang aksi JDT-TRW


  • Podium
  • Sabtu, 11 Mac 2023

Murga tidak dapat beraksi ketika berdepan JDT selepas disahkan mengalami kecederaan sewaktu perlawanan menentang Penang FC. — Facebook/TRW

SELEPAS berteka-teki mengenai misteri kehilangan tonggak pertahanan Kelantan FC, Carli De Murga di sesi latihan, pemilik pasukan itu Norizam Tukiman tampil mendedahkan keadaan sebenar mengenai pemain itu.

Beliau mengesahkan bahawa Murga mengalami kecederaan dan kem latihan Kelantan FC terpaksa menerima hakikat untuk tidak menggunakan khidmatnya menjelang perlawanan menentang Johor Darul Takzim (JDT) pada petang ini di Stadium Sultan Ibrahim (SSI).

Kenyataan yang dikeluarkan oleh Norizam ataupun mesra dengan sapaan Boszam di laman Facebook itu adalah untuk menepis segala tuduhan mengenai Murga yang dikatakan terkena ‘penyakit misteri’ menjelang aksi menentang bekas majikannya itu.

Norizam menyatakan Murga mengalami kecederaan tersebut ketika aksi bertemu Penang sehinggakan khidmatnya digantikan oleh Arip Amiruddin.

WhatsApp Image 2023-03-11 at 09.58.47

Antara aksi Murga sewaktu menentang Penang FC. — Facebook/TRW

“Carli de Murga minit ke-78 menentang Penang, dia benar-benar cedera. Ganti dengan Arif (Trip Amiruddin). Sangka baiklah... Dia benar-benar sakit, doakan kesihatan beliau,” kongsinya.

Selain pemain import dari Filipina itu, Kelantan juga kehilangan seorang lagi tonggak pertahanan iaitu Christian Mangaron Rontini kerana digantung perlawanan selepas layangan kad merah pada aksi menentang Penang FC.

Sebelum ini, ramai penyokong skuad The Red Warriors mendakwa bahawa kehilangan Murga menjelang perlawanan penting itu adalah kerana statusnya sebagai bekas pemain JDT.

Hal ini kerana, penyokong sudah sering kali disajikan dengan skrip sama apabila terdapat beberapa pemain yang terkena ‘penyakit misteri’ menjelang aksi menentang JDT.

Contohnya seperti minggu lalu, kecoh apabila pemain pertahanan Negeri Sembilan FC, Herold Goulon tidak dapat diturunkan ketika Negeri Sembilan ditewaskan Harimau Selatan JDT 0-7. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram