SKUAD Negeri Sembilan FC yang mengakhiri musim 2022 di kelompok empat terbaik Liga Super menarik perhatian apabila menandatangi bekas penyerang Selangor FC, Shahrel Fikri Md Fauzi.
Bekas penjaring gol tempatan terbanyak 2020 itu dirasakan bakal 'meletup' di bawah bimbingan ketua jurulatih skuad Jang, K Devan yang memiliki magis tersendiri.
Penyerang kelahiran Tawau, Sabah yang mesra dengan panggilan Eky itu juga memaklumkan dia sudah pulih daripada masalah kecergasan yang kerap dialami ketika bersama skuad Gergasi Merah.
Untuk musim 2023, pemain dengan ketinggian mencecah 1.8m itu diramal mampu mendapatkan semula rentak serta prestasinya seperti musim-musim sebelum ini.
Eky pulih daripada masalah kecergasan yang kerap dialami semasa di Selangor FC. — Facebook
"Kecergasan saya semakin bertambah baik, alhamdulillah. Insya-ALLAH menjelang liga yang akan bermula tak lama lagi, saya harap dapat tambah baik (kecergasan) dan aspek lain.
"Dari segi keserasian dan persefahaman pun harap akan dapat diperbaiki serta dapat menerapkan apa yang diinginkan oleh coach," katanya kepada Majoriti.
Melihat kepada aspek keserasian, Eky berasakan keharmonian dalam pasukan NSFC terbentuk dengan baik antara sesama pemain kerana kebanyakannya dikekalkan dari skuad tahun lepas.
"Untuk aksi pramusim, saya nampak kita pakai semua pemain tempatan kecuali perlawanan persahabatan menentang KL City FC baru-baru ini, ada guna pemain import.
"Kalau tengok setakat ini, pemain tempatan dah establish chemistry antara satu sama lain cuma dengan pemain import masih cari keserasian lagi. Harapnya keserasian dengan mereka dapat dicapai sebelum liga mula," katanya.
Eky (tiga dari kanan) mahu mendapatkan seberapa banyak minit permainan di NSFC musim ini. — Facebook
NSFC mengesahkan bakal menggunakan khidmat lima pemain import iaitu Herold Mark Goulon yang dikekalkan dari musim lalu.
Skuad Hobin Jang Hobin turut menerima pemain dari Johor Darul Takzim (JDT) secara pinjaman iaitu Levy Madinda, yang berasal dari Gabon.
Sementara dua lagi import masing-masing berasal dari Brazil iaitu Anselmo Arruda da Silva, 32, ataupun dikenali sebagai Casagrande, yang juga bekas penyerang Penang FC dan Vinicius Leonel Da Silva, yang julung kali bakal beraksi dalam Liga M.
Import terbaharu ialah Safuwan Baharudin yang berasal dari Singapura dan pernah beraksi untuk Selangor FC.
Eky ingin menyarungkan semula jersi Harimau Malaya. — Getty Image
Sementara itu ketika ditanya mengenai hasratnya untuk menyarung kembali jersi Harimau Malaya, Eky berkata, dia mahu memikat pengendali skuad kebangsaan, Kim Pan-gon agar dapat diberi peluang beraksi semula.
"Kalau ada panggilan saya nak pergi, tapi team Harimau Malaya pun dalam keadaan baik ketika ini. Malah kalau tengok, pemain muda seperti Haqimi Azim yang bermain di posisi penyerang pun nampak menyerlah.
"Mungkin dari segi pengalaman, saya lebih banyak daripada Haqimi tapi pemain muda sekarang ramai yang meningkat naik.
"Jadi ia permulaan yang baik kepada mereka, dan boleh cipta satu persaingan secara sihat," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram