'Fans' NSFC tanya mana Goulon, sempat puji Kedah makin ke depan


  • Podium
  • Isnin, 20 Feb 2023

Majlis pelancaran jersi baharu skuad Jang dikritik hebat penyokong pasukan itu. — Facebook/Negeri Sembilan FC

PENYOKONG bola sepak tempatan pastinya sudah tidak sabar-sabar untuk pembukaan tirai Liga Super 2023 yang bakal berlangsung 24 Februari ini.

Manakan tidak, perbelanjaan secara besar-besaran yang dibuat sepanjang jendela perpindahan menunjukkan semangat berkobar-kobar pihak pengurusan pasukan masing-masing.

Selain itu, rombakan struktur oleh Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) bakal menyaksikan sebanyak 14 pasukan bersaing untuk merebut trofi keramat tersebut.

Jadi, dalam memeriahkan lagi suasana bola sepak tempatan, setiap pasukan mengambil langkah ke hadapan dengan melancarkan jersi untuk musim akan datang.

Selangor FC, Johor Darul Takzim (JDT) dan Terengganu FC menjadi antara pasukan yang terawal memaparkan reka bentuk dengan warna cukup menarik.

Namun, di sebalik beberapa majlis pelancaran yang meriah beberapa hari kebelakangan ini, Negeri Sembilan FC (NSFC) sepertinya mengalami nasib berbeza.

329547409_751015299706835_3137752137512169866_n

Mahali (kiri) merupakan antara pemain yang hadir bagi memeriahkan majlis pelancaran itu. Facebook/Negeri Sembilan FC

Dalam acara yang diadakan di Gembox, Nilai, Negeri Sembilan pada Ahad itu, beberapa pemain turut meluangkan masa bertemu penyokong yang hadir.

Bagaimanapun, tinjauan di media sosial mendapati pelbagai isu dan kekecewaan diluahkan penyokong apabila pihak pengurusan sepertinya tidak bersedia untuk mengadakan majlis tersebut.

Antara isu yang dibangkitkan ialah ketiadaan pemain import, Herold Goulon sehingga pengacara majlis terpaksa menyebut namanya berulang kali.

"Emcee memanggil pemain import Negeri Sembilan FC, Goulon. Sampai hujan berhenti Goulon tidak hadir, hmm," kata seorang pengguna akaun Twitter, UltraJangMag.

"Bab gaji memang tidak ada masalah. Tetapi, bab pelancaran hmm, sedih tengoknya. Dengan import yang tidak hadir, buat macam ala kadar sahaja," kata Aribbin Sha.

"Bukankah lebih baik sekiranya diadakan di Dewan Majlis Bandaraya Seremban (MBS), tidaklah nampak terlalu kelam kabut. Janganlah syok sendiri," kata Nizak Ali Fakir Mohamad.

332467664_1174151256597473_1921115509259796334_n

KDA FC menampilkan jersi baharu dengan reka bentuk cukup bergaya. Facebook/KDA FC

Malah, ada juga penyokong mula membandingkan kemeriahan dan reka bentuk jersi baharu Kedah Darul Aman (KDA) FC yang bersifat futuristik.

"Kedah punya pelancaran jersi, semakin di hadapan," kata Farhan Basirun sambil menyertakan foto jersi skuad Sang Kenari untuk musim depan.

Negeri Sembilan FC dijangka memberi saingan dalam Liga Super selepas melakukan pembelian berhemah bagi menggantikan tonggak pasukan yang berhijrah.

Mereka dikatakan sedang dalam usaha untuk mendapatkan khidmat bekas penyerang Penang FC, Casagrande sebagai pemain import keempat skuad Jang bagi musim 2023. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram