Bukan setakat OKS berang, bintang import juga setuju The Rhinos patut dapat penalti


  • Podium
  • Isnin, 13 Mac 2023

Antara aksi pemain The Rhinos sewaktu menentang Sri Pahang di Darul Makmur. — Facebook/SabahFC

BUKAN sahaja kecewa dengan keputusan seri 1-1 menentang Sri Pahang FC, penyokong Sabah FC juga menganggap bahawa punca The Rhinos terpaksa berkongsi satu mata dengan skuad Tok Gajah adalah disebabkan mutu pengadilan.

Mutu pengadilan yang menjadi kemarahan penyokong Sang Badak itu dapat dilihat apabila penyerang tempatan, Darren Lok dijatuhkan oleh salah seorang pemain Sri Pahang sehingga terjatuh di dalam kotak penalti.

Melihat kepada rakaman insiden berkenaan, ramai penyokong berpendapat bahawa pihak pengadil sepatutnya memberi sepakan penalti kepada The Rhinos namun pihak pengadil gagal mengesan kejadian tersebut.

Perkara itu yang menyebabkan aksi di Stadium Darul Makmur, Kuantan, Pahang menjadi semakin tegang sehinggakan pengendali Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee mempersoalkan tindakan pengadil perlawanan, Noor Azriel Baharudin.

Susukan tindakan Kim Swee membantah keputusan pengadil, Noor Azriel tidak teragak-agak melayangkan kad merah kepada jurulatih berusia 52 tahun itu pada minit ke-67.

Insiden tersebut bukan sahaja membangkitkan kemarahan penyokong Sang Badak dan Kim Swee, malah ia juga menarik perhatian bintang kelab itu yang juga merupakan pemain kebangsaan negara jiran, Indonesia iaitu Saddil Ramdani.

WhatsApp Image 2023-03-13 at 11.18.59

Saddil mempersoalkan tindakan pengadil perlawanan pada aksi menentang Sri Pahang. — Facebook/SabahFC

Menerusi laman Insta Story miliknya, Saddil yang juga merupakan pemain Sabah FC turut senada dengan jurulatihnya iaitu bersetuju bahawa sepakan penalti perlu diberikan kepada The Rhinos.

Pada perlawanan itu, pemain lincah yang popular dengan gelaran 'Gocekan Pecel Lele' ataupun 'Raja Gelecek Sabah FC' itu dimasukkan pada babak kedua namun Saddil juga gagal untuk mencetak gol buat The Rhinos.

Dalam pada itu, keputusan pengadil itu juga mendapat perhatian Pengarah Sabah FC, Datuk Jelani Hamdan yang mana beliau menegaskan akan membuat aduan kepada pihak Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) selepas selesai menganalisis perlawanan berkenaan.

WhatsApp Image 2023-03-13 at 11.19.17

Tangkap layar komen daripada Jelani.

"Kita buat analiss keseluruhan perlawanan malam ini dan hantar aduan," katanya pada ruangan komen di laman Facebook.

Untuk rekod, Sabah FC berada di depan pada minit ke-13 menerusi tandukan cantik Daniel Ting yang menewaskan Izham Tarmizi dan jaringan Sri Pahang pula disempurkan oleh Kpah Sherman pada minit ke-25.

Sabah FC kini menghuni tangga kedua liga dengan 10 mata selepas empat perlawanan manakala Sri Pahang melonjak ke tangga keempat dengan enam mata. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram