Gandingan bersama Lucas tak menjadi, fans Pahang petik nama bekas import duo serasi Kpah


  • Podium
  • Isnin, 13 Mac 2023

Kpah menjaringkan satu gol ketika bertemu Sabah FC pada Ahad. — Facebook/Sri Pahang FC

SRI Pahang FC berjaya menjaringkan tujuh gol dan bolos empat dalam empat perlawanan terakhir Liga Super.

Walaupun berjaya menjaringkan tujuh gol, penyerang import, Kpah Sherman hanya berjaya menyumbang dua gol buat Sri Pahang FC.

Ia sama dengan pencapiannya ketika empat perlawanan awal bersama Terengganu FC (TFC) pada musim lalu.

Namun menjadi persoalan dalam kalangan penyokong Pahang, adakah dia mampu mengulangi kejayaan bersama TFC yang menjaringkan 13 gol dan dua assist dalam semua kejohanan dipertandingkan.

Kpah Sherman ketika diasak pemain pertahanan Sabah, Dominic Tan. — Facebook/Sri Pahang FC

Persoalan itu timbul kerana Kpah tiada gandingan yang mana sebelum dia berhijrah ke Sri Pahang, gandingan terbaiknya ialah Kipre Tchetche.

Pemain kelahiran Liberia itu membentuk kerjasama berbahaya bersama Kipre di Kedah Darul Aman FC (KDA FC) dan Terengganu pada musim-musim sebelumnya.

Perancangan utama pihak pengurusan Sri Pahang musim ini ialah untuk mengandingkan Kpah bersama Lucas Silva, namun malangnya pemain kelahiran Brazil itu mengalami kecederaan lutut yang memaksa dia berehat lama.

Untuk info, Lucas Silva merupakan penyerang berbisa buat Penang FC musim lalu dan dibawa masuk ke Sri Pahang bagi saingan musim 2023.

Steven Rodríguez. — Facebook/Sri Pahang FC

Kini nama bekas import Sri Pahang, Steven Rodríguez meniti di bibir peminat Tok Gajah untuk menyaksikan dia bergandingan bersama Kpah kerana Pahang dilihat perlu mencari seorang lagi penyerang untuk mengumpan pertahanan lawan.

"Ambil balik Steven Rodriguez, dia itu striker padu, cuma musim lepas tak ada gandingan yang bagus, dengan Kpah sekarang ini memang sesuai sangat dia ini," kata Suraya Roslan.

"Bawa balik Rodriguez, selagi tiada penyerang yang padu, macam itu sahajalah prestasi pasukan," jelas Bro No.

"Rodriguez musim lepas dah kena dengan taktikal Pahang, pihak pengurusan pula tak nak sambung, dia bagus pair dengan Hidalgo," ujar Muhd Sufii.

Rodriguez kini bermain bersama Alianza Petrol di liga utama Colombia, pada musim lalu bersama Sri Pahang dia berjaya menjaringkan 12 gol dalam 16 penampilan bersama skuad Tok Gajah. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram