SELEPAS beraksi dengan cemerlang bersama Sabah FC dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) pada musim lalu, kelibat Baddrol Bakhtiar yang semakin jarang diturunkan pastinya amat dirindui peminat dan penyokong The Rhinos.
Walaupun pemain berusia 35 tahun ini tidak lagi menggalas tugas sebagai kapten tetapi penyokong berharap kehadirannya dalam dalam kesebelasan utama akan memberikan impak dalam setiap perlawanan.
Namun, sudah empat perlawanan berlangsung dan pemain berketinggian 174 sentimeter itu belum lagi diturunkan oleh Datuk Ong Kim Swee.
Malah, ada yang mula memetik nama Baddrol selepeas perlawanan skuad The Rhinos menentang Sri Pahang FC pada Rabu yang berakhir dengan keputusan seri.
Sabah FC dan Sri Pahang FC masing-masing akur berkongsi satu mata selepas terikat 1-1 pada aksi Liga Super di Stadium Darul Makmur di Kuantan, Pahang.
Sebelum ini, penyokong Negeri Di Bawah Bayu itu pernah menyuarakan rasa resah kerana melihat nasib Baddrol yang lazimnya tersenarai dalam kesebelasan utama pasukan, hanya memanaskan bangku simpanan setiap kali skuad Sang Badak beraksi.
Seorang penyokong Koze Vint Age, meluahkan rasa risau sekiranya Baddrol yang terkenal dengan jolokan Kapten Marvel itu tidak diturunkan pada perlawanan akan datang akan menerima nasib yang sama seperti Safawi Rasid dalam kelab pasukan Johor Datul Takzim (JDT).
"Adakah Baddrol akan mengalami nasib yang sama seperti mana Safawi....kurang minit perlawanan dan hanya sekadar pemanas bangku? Seronok lihat kawan kawan bermain!" tulisnya.
Safawi yang sebelum ini terlalu kerap diletakkan di bangku simpanan JDT memilih untuk berhijrah demi kelangsungan kariernya. — Agensi
Hal tersebut menyebabkan penyokong bimbang perkara itu berterusan hingga hujung musim yang akan menyaksikan Baddrol kekurangan minit permainan dan merosot dari segi prestasi permainan seperti Safawi pada musim lalu.
Sejak menyertai JDT pada 2017, Safawi tampil dalam 114 perlawanan dalam kesemua kejohanan dan menyumbang 32 gol serta 16 bantuan gol.
Namun sejak beberapa musim kebelakangan ini, Safawi dilihat sukar menembus kesebelasan utama susulan kehadiran beberapa pemain baharu termasuk Arif Aiman Hanapi yang beraksi cemerlang di posisi sayap.
Maka tidak hairan jika suami kepada pempengaruh popular, Syifa Melvin itu akhirnya mengambil keputusan untuk berhijrah ke kelab Thailand secara pinjaman, Ratchaburi FC pada tahun ini, sekali gus membolehkannya mendapat lebih banyak minit permainan selain kembali ke tahap terbaiknya.
Berbalik kepada Baddrol, penyokong Sabah FC pastinya tidak mahu bekas jeneral Kedah itu menerima nasib seperti Safawi.
Malah rata-rata penyokong berharap Kim Swee akan berikan kepercayaan kepada Baddrol dengan menurunkan dia sebagai kesebelasan utama dan kembali membantu The Rhinos mengumpul tiga mata berharga. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram