'Ada masa mereka lalai', Fandi mahu anak buah lebih pintar sekat kemaraan lawan


  • Podium
  • Isnin, 13 Mac 2023

Aksi pasukan Sri Pahang FC ketika menentang Sabah FC di Stadium Darul Makmur pada Ahad. — Facebook

PRESTASI baik ditampilkan benteng pertahanan membolehkan Sri Pahang FC mengikat kemaraan Sabah FC dengan keputusan seri 1-1 pada saingan Liga Super di Stadium Darul Makmur, Kuantan, Pahang, pada Ahad.

Ketua Jurulatih Sri Pahang FC, Fandi Ahmad bagaimanapun mengakui masih terdapat kelalaian perlu diperbaiki skuad Tok Gajah di bahagian berkenaan yang boleh mengundang padah jika mereka terus mengulangi kesilapan sama pada perlawanan seterusnya.

"Bahagian pertahanan mampu beraksi dengan baik setakat ini, walau apapun formasi yang digunakan, ada masanya mereka lalai.

"Seharusnya mereka lebih pintar dalam menjaga kawasan dan mengawasi bola kerana ada percubaan berbahaya dilakukan pihak lawan," katanya pada sidang media selepas tamat perlawanan.

Pada perlawanan itu, gol Sri Pahang FC dijaringkan penyerang import Kpah Sean Sherman pada minit ke-25, selepas pasukan itu bangkit memperbaiki rentak perlawanan setelah dikejutkan dengan gol Sang Badak pada minit ke-14 menerusi tandukan Daniel Sang Ting.

Fandi berkata, secara keseluruhan, beliau berpuas hati dengan corak permainan anak buahnya kerana berjaya mendapatkan semula rentak untuk menyaingi pihak lawan selepas bermain agak perlahan pada permulaan perlawanan.

"Kedua-dua pasukan memiliki peluang baik, namun saya agak terkilan kerana Sri Pahang FC gagal memanfaatkan peluang keemasan untuk menambah jaringan pada minit-minit akhir perlawanan," katanya.

Sementara itu, pengendali Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee berkata, pasukannya bermain dengan baik meskipun berhadapan suasana sukar beraksi di tempat lawan.

"Satu gol dilepaskan itu disebabkan kesilapan kita, ditambah lagi dengan keadaan padang di sini yang agak lembut...tetapi ia boleh berlaku kepada sesiapa sahaja, jadi kita perlu bersiap sedia dengan apa sahaja kesulitan," katanya.

Beliau bagaimanapun enggan mengulas insiden dirinya dilayangkan kad merah oleh pengadil pada minit ke-67 perlawanan. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram