PRESIDEN Parti Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin dijangka akan dibebaskan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada Khamis, menurut Datuk Seri Saifuddin Abdullah.
“Maklumat terkini yang diterima, Muhyiddin akan dibebaskan dan kemudian dia akan menyertai kami untuk solat hajat selepas Isyak.
“Saya tidak pasti pukul berapa tetapi nanti,” kata Ketua Bersatu Pahang yang juga Ahli Parlimen Indera Mahkota itu di luar ibu pejabat SPRM pada Khamis.
Terdahulu, Muhyiddin menafikan dakwaan penyelewengan dana yang diterima oleh parti Bersatu dengan menyifatkan ia fitnah politik bertujuan untuk mencemarkan nama baiknya sebagai bekas Perdana Menteri kelapan.
Pada 18 Februari, Muhyiddin mengesahkan beliau bukan suspek dalam siasatan yang sedang dijalankan apabila dipanggil SPRM untuk memberikan keterangan.
SPRM telah pun mendakwa ketua penerangan Bersatu Datuk Wan Saiful Wan Jan dan Timbalan Ketua Bahagian Bersatu Segambut, Adam Radlan Adam Muhammad atas pertuduhan rasuah yang dikaitkan dengan program Jana Wibawa.
Program Jana Wibawa telah ditubuhkan pada November 2020 di bawah pentadbiran Muhyiddin untuk memperkasakan kontraktor bumiputera yang bergelut semasa pandemik Covid-19.
Sehingga kini, masih belum ada sebarang laporan lanjut berkenaan status dakwaan tersebut dengan Muhyiddin masih dalam tahan SPRM sejak 11 pagi.
Penyokong dan beberapa pengamal media turut mula meninggalkan ibu pejabat SPRM dengan cuaca juga semakin mendung sekitar pukul 5 petang. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram