Tiga bintang Piala MFL Perak, Terengganu, JDT wajar dinaikkan pangkat ke Liga Super


  • Podium
  • Sabtu, 11 Mac 2023

Piala MFL menjadi medan pemain muda untuk mempamerkan bakat yang terpendam.

BAGI memeriahkan lagi suasana bola sepak tempatan, Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) mengambil keputusan untuk menubuhkan satu lagi pertandingan yang khas bagi pemain muda.

Piala MFL yang berkonsepkan dua kumpulan disertai 15 pasukan memberi peluang kepada pelapis setiap kelab di samping memudahkan ubi-ubi muda mempamerkan bakat masing-masing.

Ketika ini, hanya beberapa perlawanan sudah berlangsung dengan terdapat pasukan yang bermain sebanyak dua kali sementara ada yang masih belum beraksi.

Berdasarkan pertembungan yang sudah berlangsung, penyokong sepertinya sudah berpuas hati dengan kemampuan serta prestasi hampir kesemua pemain.

Lebih menarik lagi, ada di antara mereka yang mula mengharapkan ketua jurulatih skuad utama tidak menunggu terlalu lama untuk membawa masuk bakat-bakat berkenaan.

Berdasarkan pemerhatian di media sosial, terdapat tiga pemain yang mula disebut-sebut sebagai calon terbaik untuk diberikan peluang dalam saingan Liga Super.

1. Muslihuddin Atiq (Terengganu FC)

Nama pemain sayap muda Terengganu FC, Muslihuddin Atiq Mat Zaid tidak perlu lagi diperkenalkan selepas dia mencuri perhatian bersama skuad negeri Sukma 2022.

Menariknya, prestasi yang cukup membanggakan itu dikhabarkan menarik perhatian Johor Darul Takzim (JDT) sehingga kelab tersebut terpaksa mengeluarkan kenyataan rasmi bagi menafikan khabar angin berkenaan.

Bagaimanapun, dengan dia baru sahaja berusia 20 tahun, pihak pengurusan Terengganu FC memilih untuk meletakkannya dalam skuad Piala MFL.

330306728_3067069610261275_5333758886623957558_n

Muslihuddin (tengah) merupakan penjaring terbanyak Piala MFL setakat ini. Facebook/MFL

Dia dilihat mengambil peluang tersebut dengan cukup baik apabila dia dengan mudah membantu pasukan Pantai Timur itu berada di tangga teratas Kumpulan A selepas dua perlawanan.

Setakat ini, pemain bertubuh kecil itu sudah menjaringkan tiga gol, sekali gus membuktikan bahawa segala pujian yang diberikan terhadapnya bukanlah satu kata-kata kosong.

Jadi, dengan skuad utama Terengganu FC masih tumpul di hadapan pintu gol, barisan kejurulatihan mempunyai pilihan untuk menggunakan khidmatnya.

Persoalannya, dengan lambakan pemain sayap dalam pasukan, adakah pengendali, Tomislav Steinbruckner akan terburu-buru untuk menggunakan penyerang tersebut?

2. Daryl Sham (JDT)

Jentera serangan bukanlah satu isu buat JDT apabila mereka mudah merobek pintu gol lawan selepas menjaringkan 12 gol dalam hanya tiga perlawanan Liga Super.

Bagaimanapun, dengan cabaran besar di peringkat domestik dan pentas Asia perlu dihadapi, pihak kejurulatihan pasukan pasti akan menggunakan setiap peluang yang dimiliki.

Antara pemain muda yang dilihat sesuai untuk digunakan khidmatnya ialah penyerang berusia 20 tahun, Daryl Sham KK George dengan kemampuannya sukar dipersoalkan lagi.

1929312

Daryl mempunyai kebolehan untuk mencipta peluang dan menyudahkannya. Facebook/JOHOR Southern Tigers

Musim lepas, kehebatannya ditonjol apabila dia muncul sebagai penjaring terbanyak tempatan Liga Perdana dengan sembilan gol yang disumbat.

Dalam satu perlawanan Piala MFL yang disertai, pemain berkenaan masih belum mendapatkan jaringan peribadinya ketika berdepan PDRM FC.

Namun, dalam perlawanan tersebut, dia dikatakan beraksi dengan cukup baik sehingga memukau penyokong yang menyaksikan persembahannya.

Oleh itu, Daryl merupakan antara calon terbaik untuk dibawa masuk ke dalam skuad utama JDT dengan kemampuannya tidak boleh dipertikaikan lagi.

3. Hakimi Isa (Perak FC)

Jentera serangan skuad The Bos Gaurus (TBG) sememangnya mengecewakan, lebih-lebih lagi selepas perbelanjaan besar-besaran dibuat pihak pengurusan.

Bekas penyerang JDT, Hadi Fayyadh Abd Razak dikatakan tidak melakukan sebarang sumbangan apabila masih kempunan untuk mendapatkan gol pertamanya sejak pulang ke tanah air.

Situasi itu diburukkan lagi dengan prestasi tidak konsisten pemain import, Christian Obiozor dengan hanya satu jaringan diperolehi, iaitu ketika aksi Piala FA.

1965736

Hakimi mula mempamerkan bakatnya bersama skuad simpanan Perak FC. Facebook/Perak FC

Jadi, sekiranya Perak FC mahu membaiki perkara itu, penyokong TBG mendesak pihak kejurulatihan menggunakan khidmat pemain muda, Hakimi Isa.

Penyerang berkenaan mula disebut-sebut selepas menjaringkan dua gol ketika berdepan Kuching City FC yang menghadiahkan kemenangan buat skuad kendalian Chong Yee Fatt.

Di samping memiliki deria 'pembunuh' di hadapan gawang pihak lawan, dia juga dikatakan bijak menggunakan fizikalnya yang kecil itu.

Persoalannya, dengan lambakan pilihan dalam skuad utama, adakah Hakimi akan dibawa masuk meskipun pelbagai desakan sudah dibuat di media sosial? — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram