AKSI cemerlang yang dipamerkan oleh penjaga gol Penang FC, Shafiq Afifi Suhaimi pada perlawanan pusingan pertama Piala FA 2023 berjaya membantu pasukannya menyingkirkan Kedah Darul Aman (KDA) FC dari kejohanan itu pada Rabu.
Shafiq Afifi muncul wira dalam sepakan penalti tersebut dan sekali gus dinobatkan sebagai pemain terbaik perlawanan selepas berjaya menyelamatkan dua sepakan yang diambil oleh Lee Tuck dan Bojan Ciger.
Usaha penjaga gol muda itu membuahkan hasil apabila Penang FC mara dengan menang sepakan penalti 4-3 selepas kedudukan terikat 2-2 dalam aksi di Stadium Darul Aman, Alor Setar.
Persembahan memukau daripada penjaga gol berusia 23 tahun itu bukan sahaja membanggakan penyokong Harimau Kumbang, malah peminat bekas pasukannya iaitu, Perak FC II turut menumpang atas kejayaan Shafiq Afifi menewaskan pemain berpengalaman KDA FC.
Shafiq Afifi dinobatkan sebagai pemain terbaik perlawanan bagi pusingan pertama Piala FA 2023. — Facebook/PenangFC
Perkongsian dari laman penyokong Perak FC, Perak Power, mereka sempat memuat naik semula hantaran lama mengenai kehebatan Shafiq Afifi ketika bersama dengan skuad The Bos Gaurus (TBG) sekitar 2018 hingga 2020.
“Kami pernah bercerita mengenai pemain ini dahulu. Malam ini menjadi kebangsaan penyokong Penang FC. Tahniah Along,” tulis laman penyokong itu.
Menjengah hantaran pada 2 Mei 2020, itu, pemain kelahiran Ipoh tersebut memulakan kariernya sebagai penjaga gol profesional bersama Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) II yang kini dikenali sebagai Perak FC II.
Anak kepada bekas jurulatih penjaga gol Perak II, Suhaimi Mat Lazim itu juga pernah mewakili Malaysia Bawah-19 tahun dan siapa tahu jika Shafiq Afifi kekal konsisten akan menarik perhatian pengendali skuad kebangsaan, Kim Pan-gon pada suatu hari nanti.
Dalam pada itu, berikutan prestasi cemerlanganya itu, pemain yang mesra dengan sapaan Along itu diharap akan kembali menabur bakti buat negeri kelahiran dengan menyarung jersi skuad TBG pada musim depan.
Hantaran dari Perak Power sewaktu Shafiq Afifi bersama PKNP FC.
“Dah boleh masuk dalam senarai pemain untuk musim depan ini,” komen penyokong TBG, Hasrul Rizal.
“Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA) sia-siakan bakat yang ada, “ kata seorang lagi penyokong Perak FC, Rizal Ynwa.
Meskipun masih terlalu awal untuk membuat perancangan, namun Perak FC pasti ingin melakukan rombakan terutamanya sehingga kini skuad TBG gagal mencatat sebarang kemenangan dan merekodkan sebanyak empat bolos dari tiga perlawanan bagi saingan Liga Super.
Selain daripada aksi cemerlangnya menjaga gawang Penang FC, tindakan Shafiq Afifi membawa 'kertas toyol' menerima pujian daripada penyokong yang menyifatkan penjaga gol itu telah membuat kajian terlebih dahulu untuk menghadapi pasukan KDA FC.
Menerusi gambar yang tular di media sosial, Shafiq Afifi membawa 'kertas toyol' di pergelangan tangannya dengan senarai kesemua pemain Kedah yang akan mengambil sepakan penalti termasuk arah sepakan tersebut. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram