Provokasi melampau depan keeper lawan, fans minta Fayadh contohi Arif Aiman


  • Podium
  • Khamis, 09 Mac 2023

Klip ulang tayang itu memaparkan Fayadh meraikan jaringan penyamaan diperoleh pasukannya di hadapan Shafiq.

KEDAH Darul Aman FC (KDA FC) sekali lagi kempunan untuk meraih kemenangan di gelanggan sendiri apabila tewas di tangan Penang FC melalui penentuan sepakan penalti 3-4 pada perlawanan pusingan pertama Piala FA, pada Rabu.

Sebelum itu, kedua-dua pasukan terikat 2-2 sehingga tamat perlawanan masa tambahan.

Namun begitu, Ketua Jurulatih Kedah Darul Aman FC (KDA FC), Mohd Nafuzi Zain berkata, beliau berbangga dengan prestasi keseluruhan ditunjukkan anak buahnya aksi tersebut.

Katanya, corak permainan pada perlawanan itu lebih baik daripada beberapa perlawanan sebelum ini, dengan banyak peluang berjaya dicipta Sang Kenari, namun nasib tidak menyebelahi pasukan.

Dalam pada itu, turut mencuri tumpuan peminat bola sepak tanah air pada perlawanan tersebut adalah gelagat ditunjukkan pemain sayap (KDA FC), Fayadh Zulkifli dalam satu insiden ketika tempoh permainan.

Menerusi klip ulang tayang yang tular di sosial media, ubi muda Hijau Kuning itu dilihat membuat provokasi dengan meraikan jaringan penyamaan pasukannya pada minit ke 89 di hadapan penjaga gol Penang FC, Shafiq Afifi Suhaimi.

Tindakan Fayadh yang berusia 24 tahun itu menimbulkan perasaan tidak senang dalam kalangan peminat bola sepak tempatan yang menyifatkannya sebagai tidak profesional.

"Muka tak hensem tak apa,tapi perangai kena cantik. Baru orang hormat. Belajarlah dari Ariff Aiman (pemain Johor Darul Takzim) bagaimana menyantuni kawan dan lawan serta sentiasa merendah diri," Nordin Sidek.

WhatsApp Image 2023-03-09 at 6.15.09 PM

Terdapat peminat bola sepak tanah air meminta Fayadh supaya mencontohi sikap ditunjukkan oleh Arif ketika beraksi di dalam padang. — Facebook

"Sikap yang tak profesional sebagai seorang pemain. Amat memalukan bola sepak Malaysia kerana provokasi pasukan lawan. Ini Piala FA, kena seiring dengan sikap pemain," Zamry John.

"Patut bersyukur dapat jaringan, ni tak kau pergi kacau penjaga gol tu. Kan dah dapat malu. Apa pun tak dapat," ujar Izam Riz.

Dalam pada itu, terdapat juga dalam kalangan penyokong memuji sikap Shafiq, 23 tahun yang tenang dan tidak memberikan reaksi balas terhadap provokasi berkenaan.

"Keeper tu steady. Mental kuat," ujar Suria Perkasa Hitam.

"Relaks sahaja keeper Penang FC bila kena provok..terbaik," tulis KamalJauhari Jaafar.

Fayyadh merupakan antara tonggak utama bahagian serangan Kedah pada musim lepas dengan memiliki sebanyak 30 penampilan dan menyumbang sejumlah 10 gol dalam semua kejohanan.

Pada 2019, Fayyadh juga mencuri tumpuan peminat bola sepak apabila Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) melanjutkan kontraknya dan meletakkan harga tebus kontrak bernilai RM5 juta. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram