PERAK FC kini berada di tangga ke-11 apabila hanya mengutip dua mata dengan tiada sebarang kemenangan daripada ketiga-tiga perlawanan.
Skuad The Bos Gaurus kendalian Datuk Lim Teong Kim juga tidak berjaya mara ke Piala FA selepas tewas 1-2 kepada Sri Pahang FC.
Disebabkan kekalahan itu, kejurulatihan Teong Kim yang berpengalaman luas melatih pasukan belia Bayern Munich selama 12 tahun, menjadi bahan kritikan segelintir peminat pasukan Perak FC.
Malah pengendali berusia 59 tahun yang dikenali dengan pegangan trust the process itu dilabel scammer kerana belum berjaya menghasilkan kemenangan buat Sang Seladang.
Perkongsian artikel temu bual kolumnis Laptop Cabuk dengan Teong Kim yang disiarkan di portal Majoriti. — Facebook
Namun Teong Kim tidak ambil pusing dengan komen-komen netizen kerana beranggapan mereka bukanlah penyokong Perak sejati, yang melihat sendiri peningkatan persembahan pemain apabila mereka hadir ke stadium menonton perlawanan secara langsung.
Bagi wakil laman penyokong Perak, Silver Retro, Teong Kim perlu terus bersikap sedemikian untuk memastikan perancangan yang direncanakan untuk skuad TBG mencapai sasaran yang dikehendaki.
"Untuk Teong Kim dapat seperti apa yang pernah dinikmati Perak ketika di bawah bimbingan (mendiang Karl Heinz-Weigang) masih jauh.
"Pada saya teruskan apa yang dia sudah pelan. Kalau nak berjaya dan capai target, kena pedulikan netizen, jiwa kena besar! Buat kerja macam biasa.
"Apa yang mereka kritik itu baru sedikit...belum sampai tahap netizen mengganggu keluarga mereka di media sosial kerana ini semua pernah berlaku. Mereka kurang bermoral," katanya kepada Majoriti.
Perak FC di bawah bimbingan Teong Kim dibarisi oleh pemain-pemain muda. — Facebook
Silver Retro berkata, Perak tidak mempunyai komuniti penyokong bola sepak yang ramai.
"Kecenderungan penyokong untuk menyokong usaha pengurusan dari segi pembelian jersi, kad sim XOX dan merchandise tidak begitu membanggakan.
"Ini kerana Perak tidak ramai penyokong, yang membeli dan menyokong usaha pasukan hanya sedikit.
"Tapi stadium tidak pernah sunyi tanpa kehadiran penyokong, kerana mereka adalah penyokong. Yang buat ramai itu adalah peminat. Mereka hanya akan datang ketika mereka berminat.
"Apabila hilang keseronokan, minat itu akan pudar," katanya.
Aura Zaquan berjaya menarik ramai peminat Perak ke stadium. — Facebook
Memberi contoh ketika Zaquan Adha membintangi Perak FC pada musim 2017, Silver Retro berkata, stadium dibanjiri peminat kerana kehadiran bekas pemain kebangsaan itu dalam pasukan.
"Dulu ketika Perak ada Zaquan, Perak tak kuat pun tapi mereka datang memenuhi stadium kerana mereka minat Zaquan.
"Sekarang apabila XOX (pemilik kelab) membawa pulang V Saravanan sebagai pembantu jurulatih, kita lihat ini sebahagian daripada pemasaran yang bagus.
"Sebabnya, orang akan datang ke stadium kerana Saravanan. Sama juga apabila mereka kekalkan Wan Zack Haikal, ia juga strategi yang baik untuk menarik kehadiran penonton," katanya.
Namun minat sahaja tidak cukup, kerana ia perlulah hadir dalam bentuk sokongan tidak berbelah bahagi secara berterusan kepada pasukan Perak FC.
Justeru, Silver Retro mengulangi seruan Teong Kim supaya para penyokong TBG datang ke stadium sebagai cara menghargai pasukan itu dan melihat anak-anak tempatan berjuang untuk menaikkan nama Perak FC. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram