NUKILAN 'Laptop Cabuk' menemui pembaca buat kali kedua. Berinspirasikan minda tua yang mungkin sudah berkarat, karya ini dan seterusnya akan cuba menyingkap cerita di sebalik tabir dan sesuatu yang mungkin terlepas daripada pengamatan ramai untuk sama-sama memeriah dan meraikan Liga Malaysia musim 2023.
SUGUL daripada kekalahan Perak FC dalam pusingan pertama Piala FA tempoh hari, jurulatihnya Datuk Lim Teong Kim (DLTK) masih tergelak besar apabila dimaklumkan ada netizen menggelarnya sebagai scammer (kaki tipu).
“Kena scam hidup-hidup dengan DLTK,” komen Dengkes & Tepok dalam Facebook Perak The Bos Gaurus sambil Atiqul Iqul mencelah, "Tumpo Yop Tumpo", seolah-olah mencadangkan slogan baharu buat skuad Perak FC itu di bawah hantaran bertajuk ‘Apakan daya’.
Namun, tidak semua komen berjumlah lebih 150 itu berbaur negatif, sebaliknya ada yang contohnya seperti Zulkifli Ali mempertahankan pasukan dengan mengungkapkan: “Overall game ni...aku suka pemain Perak, semangat nak serang. Pahang yang banyak pemain Malaysia pun boleh pancit. Cuma Perak kurang antara pertahanan dan tengah. Harap sangat next perpindahan ambil seorang senior bahagian tersebut. XOX banyak duit....”
Teong Kim, berbanding memilih untuk berkonfrontasi dengan netizen, bersikap positif dengan menawarkan penjelasan panjang lebar terhadap pendekatan 'P&P' (Process & Progress) yang diterapkannya.
Teong Kim bersikap positif terhadap pendekatan 'P&P' yang diterapkannya. — Facebook
“Netizen ni tidak pergi ke stadium. Mereka tonton siaran langsung, kemudian jadi pejuang papan kekunci. Hanya seorang perlu mulakan komen negatif dan yang lain akan ikut tambah-menambah.
“Saya tak pernah ambil serius komen netizen. Mereka boleh tulis apa saja dan saya tak ambil peduli.
"Lagipun, saya tak anggap netizen sebagai penyokong Perak kerana penyokong sejati tak akan sesuka hati menghentam pasukan,” katanya dalam satu temu bual bersama Laptop Cabuk.
Adakah Teong Kim sudah berlembut daripada berpendirian tegas dan keras sebelum ini?
“Biarlah saya katakan saya kini lebih matang dan lebih terkawal daripada segi emosi.
“Saya berulang kali menggeleng-gelengkan kepala seperti dipaparkan kamera televisyen dalam perlawanan pada Rabu tapi ia hanya kerana kesilapan pemain saya ketika itu.
“Bola sepak adalah permainan penuh beremosi. Begitu jugalah saya yang memberikan segala-galanya dalam permainan ini,” tambahnya.
Perak FC tewas kepada Sri Pahang FC dalam aksi pembukaan Piala FA. — Facebook
Mempertahankan prestasi pasukannya sebagai antara yang terbaik dalam kekalahan 1-2 kepada Sri Pahang FC itu, Teong Kim berkata, ia menyusuli peningkatan daripada segi permainan ketika berdepan Kedah Darul Aman, 25 Februari lalu.
Perak FC mendahului seawal minit ketiga menerusi Mohammad Hafizo dalam perlawanan sulung itu sebelum dua kad merah menyaksikan mereka kesudahannya rebah 1-4.
“Saya faham penyokong Perak berasa bimbang kerana kami belum menang selepas empat perlawanan. Tapi mereka perlu kekal tenang.
“(Setakat ini), kami bermain dengan berdisiplin, merangka peluang-peluang dan hanya jaringan tidak banyak diraih.
“Empat perlawanan tanpa menang (termasuk seri 0-0 dengan PDRM FC dan Kelantan United FC di tempat lawan) bukanlah satu rentetan yang sangat buruk dan ia pasti akan berakhir.
“Ramai yang terlupa Perak FC tahun ini adalah pasukan baharu. Cuma seorang pemain, Sunday Afolabi, dikekalkan daripada musim lalu selain Nasrol Amri. Selebihnya adalah bakat-bakat muda.
Perak FC dibarisi oleh pemain-pemain muda. — Facebook
“(Penyerang import) Christian Obiozor juga pemain baharu musim ini. Jadi, kami memerlukan sedikit masa dan saya harap penyokong Perak dapat bersabar,” sambungnya.
Tekanan yang semakin berganda susulan kekalahan kepada Sri Pahang FC itu turut tidak menggoyahkannya daripada segi kepercayaan dan harapannya terhadap pasukan.
“Saya tidak melihatnya sebagai satu tekanan, (sebaliknya) ia cabaran yang memotivasikan saya untuk melakukan lebih baik lagi bersama pemain-pemain muda ini.
“Saya sedang berusaha menerapkan satu budaya bola sepak yang memerlukan kami bermula daripada asas.
“Ia mengujakan apabila kelompok pemain ini mampu menyerap apa yang diajar, mereka mahu memperbaiki diri, memiliki karakter yang baik dan bersedia memberikan sehabis daya mereka.
Shukri memiliki naluri sebagai penyerang yang baik. — Facebook
“Cuma, saya menuntut pemain saya bersifat lebih berani. Secara beransur-ansur, mereka sudah mula menunjukkan peningkatan apabila mula mempercayai kemampuan mereka sendiri.
“Lihat Shukri Baharun. Dia menggelecekkan sehingga lima pemain Sri Pahang. Itu, pada saya, adalah naluri seorang pemain serangan. Dan saya berharap untuk melihat lebih banyak seperti itu,” katanya.
Pada Khamis, Teong Kim ditemani isterinya yang baru tiba dari Jerman, keluar berbelanja di sebuah pasar raya di Ipoh dan sempat disapa beberapa ‘peminat’ yang tidak kekok untuk berbicara dengannya.
“Mereka menakjubkan dan sangat menyokong Perak FC. Mereka menemui saya menyatakan mereka semakin seronok menyaksikan permainan Perak. Itu benar-benar satu rangsangan kepada saya.
“Peminat seperti ini sama-sekali berbeza daripada netizen, yang tidak mahu faham Perak FC musim ini adalah sebuah pasukan baharu.
Teong Kim meminta penyokong ke stadium untuk memberi sokongan kepada Perak FC.
“Nasihat saya kepada netizen, datanglah ke stadium menyokong kami. Hanya dengan cara itu, mereka akan lebih menghargai pasukan ini dan bersedia memberi pujian kepada anak-anak tempatan yang berjuang untuk menaikkan nama Perak FC.
“Seperti penyokong sejati Perak yang lain, netizen juga perlu fahami bahawa semua ini berkisar kepada ‘process and progress’ (proses dan peningkatan).
“Netizen harus faham yang masa diperlukan untuk pasukan ini menunjukkan hasil. Saya percaya lambat-laun keputusan akan diperoleh juga,” tambahnya.
Apakah Teong Kim masih bercadang mendapatkan khidmat bomoh dari Indonesia untuk mengubah nasib pasukannya?
“Saya dengar bomoh dari sana mahal juga. Jika saya tidak mendapatnya, saya akan bawa seorang dari Jerman. Ha ha ha ha ha,” katanya tertawa.— Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram