SATU insiden mengejutkan berlaku ketika aksi Liga 1 Indonesia antara Madura United dan PSIS Semarang pada Selasa yang menyaksikan salah seorang pemain terpaksa dikejarkan ke hospital.
Pemain tengah Madura United, Ricki Ariansyah yang mengejar bola untuk menjaringkan gol pada minit ke-90 dilihat secara tidak sengaja ditendang di kepala oleh pertahanan lawan.
Susulan kejadian tersebut, pemain kelahiran Medan, Indonesia itu rebah dan memaksa staf perubatan kedua-dua pasukan bergegas ke tengah padang sebelum dia dibawa ke hospital.
Bagaimanapun, selepas beberapa hari diberi rawatan, keadaannya difahamkan semakin pulih sepertimana yang dikongsikan pengurus media Madura United pada Rabu.
"Ketika ini, dia sudah semakin pulih dan boleh berkata-kata bersama rakan-rakannya. Menurut laporan yang saya terima, wakil dan beberapa pemain kelab juga akan dibawa untuk menemui Ricki," katanya.
Tambahnya, pemeriksaan menggunakan teknologi pengimbas tomografi berkomputer (CT Scan) sudah dilakukan selain beberapa prosedur perubatan lain.
"Saya harap penyokong bola sepak di Indonesia terus mendoakan kesejahteraan buat Ricki dan harapnya dia segera sembuh," katanya.
Ketika aksi berkenaan, Madura United mencatatkan kemenangan 2-0 dalam aksi yang berlangsung di Stadium Jatidiri, Semarang, Indonesia di hadapan ribuan penyokong.
Kemenangan yang dicatat menerusi jaringan Beto Goncalves dan Ricki itu menyaksikan pasukan tersebut selesa di kedudukan kelima Liga 1 Indonesia. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram